Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Pasukan Bola Keranjang Brunei Darussalam berharap untuk memberikan persembahan yang terbaik serta bersaing dengan penuh semangat apabila menentang pasukan-pasukan bola keranjang Asia Tenggara yang berpengalaman dan hebat semasa Perlawanan Pra-Kelayakan Piala Asia FIBA 2021 yang akan berlangsung di Stadium 29, Nonthaburi, Thailand bermula 26 hingga 30 Jun ini.
“Kami berharap dapat menimba pengalaman dan memberikan saingan pada setiap perlawanan yang kami hadapi. Kami menyedari bahawa pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain mempunyai pemain-pemain yang hebat serta berpengalaman dan pengalaman ini akan digunakan untuk memantapkan lagi mutu sukan bola keranjang Brunei.”
Harapan itu disuarakan oleh Ketua Pasukan Bola Keranjang Brunei Darussalam, Benjamin Sim dalam temu bual ringkas bersama pihak media sebelum pasukan berkenaan berlepas ke Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Mengulas mengenai sesi latihan yang dikendalikan oleh Penolong Jurulatih Jemputan G-League, Damien Cotter baru-baru ini, Benjamin berkata bahawa mereka banyak mempelajari mengenai cara-cara latihan yang lebih teratur serta corak permainan berpasukan yang lebih mantap.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/3C_250618-1.jpg)
Kehadiran Damien, jelasnya lagi membantu mereka untuk memperbaiki lagi mutu permainan pasukan dan berharap akan dapat memberikan saingan kepada para pasukan Asia Tenggara lain yang lebih berpengalaman dalam perlawanan itu.
Sementara itu, pasukan Bola Keranjang Brunei Darussalam yang akan beraksi di perlawanan pra-kelayakan Piala Asia FIBA dibarisi oleh 12 orang pemain berpengalaman negara terdiri daripada Benjamin Sim, Khoo Chin Kai, Gideon Fong, Lim Chee Chuon, Tan Ye Wei, Ahmad Termizi, Soon Kian Leong, Onn Jen Hao, Han Ming Kwong, Jake Chong, Simon Chong dan Mohd Zainul Ashyraf Hussin.
Dalam perlawanan kelayakan pada 26 hingga 30 Jun itu, pasukan Brunei akan menentang pasukan-pasukan Asia Tenggara termasuk Kemboja, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. Pasukan Brunei akan memulakan aksi perlawanan menentang tuan rumah, Thailand pada 26 Jun nanti.