Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bola sepak boleh ditunggu’

    MILAN, 16 MAC – Jurulatih Itali, Roberto Mancini bersedia untuk Kejuaraan Eropah ditangguhkan sehingga 2021 di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

    “Kami akan memenangi Kejuaraan Eropah musim panas ini, kami juga boleh menang pada 2021,” kata Mancini kepada Rai Sport.

    “Kita tunggu dan lihat keputusan UEFA, tapi saya menyesuaikan diri dengan segala-galanya, sekarang yang menjadi keutamaan adalah untuk menyelamatkan nyawa.”

    Badan bolasepak Eropah hari ini membuat pertemuan untuk membincangkan semua pertandingan domestik dan Eropah, serta Euro 2020, yang akan berlangsung pada 12 Jun hingga 12 Julai.

    Itali akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan pembukaan di Rom pada 12 Jun, kejohanan yang di sertai dari 12 buah negara di benua itu.

    Semua acara sukan di Itali telah digantung sehingga 3 April dengan jumlah penduduk mereka sebanyak 60 juta diperintahkan berkurung untuk mencegah penularan virus yang telah membunuh 1,809 orang dan lebih 24,000 telah dijangkiti.

    “Hakikatnya, masalah yang kita hadapi, negara-negara lain juga turut sama menghadapi,” jelas bekas jurulatih Manchester City dan Inter Milan itu.

    “Pertama sekali kita perlu melindungi kesihatan rakyat, kita perlu menunggu sehingga apabila keadaan ini mula mereda kita boleh mula dan memutuskan segala-galanya nanti.

    “Apabila kita kembali ke kehidupan normal, untuk bolasepak, kita akan lebih bahagia, kita akan mendapat kebebasan, dapat kembali ke perlawanan di stadium, bersenang-senang,” tambahnya.

    “Situasi seperti ini boleh membuat anda menjadi lebih baik, saya berharap demikian.”

    Itali memenangi kesemua 10 perlawanan kelayakan Euro 2020 ketika mereka di bawah bimbingan Mancini yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia pada 2018.

    Mereka mendekati Euro 2020 mencari gelaran Eropah kedua mereka selepas menang pada tahun 1968. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda