Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Sukan berpasukan mendapat rangsangan dalam kembali menjalani latihan penuh dengan pasukan bola sepak yang kini dapat bermain kembali menggunakan bola mengikuti garis panduan di bawah fasa pelan de-escalation terbaharu.
Pasukan bola sepak tempatan seperti pasukan pemenang Liga Perdana Singapura, DPMM FC kembali menjalani latihan dengan bola setelah fasa terbaharu pelan de-escalation berkuat kuasa bermula pada Isnin lalu.
Latihan menggunakan bola menandakan pertama kalinya diadakan sejak sesi latihan terhenti akibat wabak COVID-19.
Sebelum ini, pasukan hanya dapat menjalani latihan kecergasan dengan berlari dan menggunakan peralatan latihan seperti alat rintangan dan tangga.
Walau bagaimanapun, langkah-langkah telah dipermudahkan dengan pertukaran dan percampuran pemain sekarang dibenarkan sementara aktiviti yang melibatkan kontak fizikal dibenarkan pada skala minimum.
Di bawah garis panduan terbaharu, kumpulan seramai 10 orang harus dipantau semasa sesi latihan, meningkat daripada lima orang.
Walau bagaimanapun, perlawanan persahabatan yang mungkin mengakibatkan kontak fizikal masih tidak dibenarkan dengan kontak minimum yang dipatuhi sesuai dengan garis panduan semasa.
Menganjurkan sebarang perlawanan sukan adalah juga tidak dibenarkan.
DPMM FC menghormati garis panduan berkenaan semasa mereka menjalani sesi latihan dalam skala kecil semalam, yang juga serupa semasa sesi mereka pada Selasa lalu.
Jurulatih penjaga gol DPMM FC juga melakukan sesi latihan berasingan khusus untuk penjaga gawang yang berlatih dengan bola, perubahan dari sesi sebelumnya dalam beberapa minggu terakhir.
Penjaga gol termasuk Wardun Yussof dan Emerson menguji refleks mereka dengan bola dan jurulatih penjaga gol mereka memuji mereka untuk latihan yang baik.
DPMM FC memasuki latihan minggu kelapan sejak berehat panjang ketika mereka terus meningkatkan ketajaman mereka.
Sementara itu, pasukan ‘B’ juga mengadakan sesi latihan di tempat lain sebagai latihan kembali dengan menggunakan bola setelah ketiadaan selama berbulan-bulan.