JAKARTA, 24 Sept – Bola sepak Indonesia terus tercemar dengan insiden kematian penyokong bola sepak akibat pergaduhan.
Terbaru, seorang penyokong kelab bola sepak Persija Jakarta mati dibelasah sekumpulan penyokong kelab Persib Bandung semalam.
Dalam kejadian 1 tengah hari sebelum perlawanan itu, mangsa Haringga Sirilla, 23, mati dibelasah penyokong lawan di luar Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Kota Bandung.
Ketua Polis Bandung, M Yoris Maulana berkata 10 suspek ditahan berhubung insiden itu.
Kejadian pergaduhan yang membawa maut bukanlah perkara baharu membabitkan kedua-dua pasukan dalam Liga 1 bola sepak Indonesia.
Pada perlawanan semalam, Persib Bandung menewaskan Persija Jakarta 3-2, untuk terus kekal di tangga teratas Liga 1, manakala Persija kini di tangga keenam.
Dilaporkan, tujuh penyokong dari kedua-dua kelab itu terbunuh akibat pergaduhan sejak 2012.
Insiden terbaru semalam itu menimbulkan kebimbangan berkenaan masa depan bola sepak Indonesia yang sering dicemari pergaduhan.
Di peringkat antarabangsa, sikap agresif dan provokatif penyokong Indonesia juga sering kali menimbulkan kebimbangan ramai pihak apabila pasukan itu beraksi di Indonesia.
Pada aksi Piala AFF bawah 19 tahun pada Julai lepas misalnya, pemain Malaysia dihujani balingan botol dan batu, malah lagu Negaraku turut diejek penonton lawan ketika aksi bertemu Indonesia di Surabaya.
Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Ratu Tisha Destria ternyata kesal dengan sikap segelintir peminat bola sepak Indonesia yang tidak profesional dan tidak mengamalkan semangat kesukanan itu.
“Kalau bicara edukasi (pendidikan kepada penonton bola sepak), kita komited sampai mati untuk memberikan edukasi. Kita akan terus, tidak akan berhenti, tidak akan pernah capek (letih),” kata wanita itu. – Bernama