Bola sepak kembali di Amerika Selatan

RIO DE JANEIRO, 19 JUN – Selepas bola sepak ditangguhkan selama tiga bulan kerana wabak koronavirus, perlawanan kini kembali ke Amerika Selatan kelmarin di Brazil dengan kejohanan liga Rio de Janeiro, meskipun beberapa kelab dan peminat menolak kerana masih terlalu awal.

Juara Copa Libertadores, Flamengo, telah berjaya menewaskan Bangu 3-0 di Stadium Maracana yang terkenal di Rio, dalam perlawanan tanpa peminat dan hanya beberapa meter jaraknya dari hospital sementara yang ditubuhkan untuk merawat pesakit COVID-19.

Datuk bandar Rio, Marcelo Crivella, telah membenarkan kejohanan itu disambung semula.

Presiden Jair Bolsonaro, mengkritik keras terhadap tindakan kuarantin COVID-19 bagi sesiapa yang menghadiri pertandingan tersebut.

Kejohanan Rio adalah pertandingan bola sepak profesional pertama yang disambung semula di Amerika Selatan, di mana wabak COVID-19 masih berleluasa.

Pasukan Flamengo dan Bangu memberi penghormatan kepada mangsa COVID-19 sebelum perlawanan bola sepak Carioca Championship 2020 bermula di Stadium Maracana, di Rio de Janeiro, Brazil, semalam, yang dimainkan di belakang pintu tertutup. – AFP

Dengan hampir 48,000 orang terbunuh oleh virus tersebut setakat ini, Brazil mempunyai angka kematian kedua tertinggi di dunia, setelah Amerika Syarikat dan jumlah kes terus meningkat dengan mendadak.

Kelab-kelab ternama di Brazil seperti Botafogo dan Fluminense, telah menentang perlawanan itu disambung semula, dengan alasan ia masih terlalu awal.

Penyokong kedua-dua kelab tersebut, begitu juga Flamengo, Bangu dan kelab-kelab yang lain, melakukan tunjuk perasaan di luar stadium sebelum perlawanan dengan mengatakan pihak berkuasa membahayakan nyawa.

Pemain diperiksa suhu badan mereka semasa tiba di stadium, sementara wartawan dan jurugambar yang hadir di pertandingan harus menjalani pembasmian kuman.

Perlawanan dibuka dengan memberi ‘peringatan’ selama seminit bagi mangsa COVID-19, termasuk ahli terapi Flamengo sendiri, Jorginho, yang meninggal dunia bulan lalu. – AFP