SYDNEY – Dengan wisel tergantung di lehernya sambil menjerit arahan dalam Bahasa Inggeris yang sempurna, remaja Athmar Habeb kelihatan seperti berada di tempat asalnya semasa menjadi pengadil dalam satu perlawanan bola sepak di Sydney baru-baru ini.
Namun, empat tahun yang lalu, Habeb terpaksa melarikan diri dari tanah airnya Iraq yang dilanda peperangan. Dia berada di Australia pada umurnya 12 tahun bersama keluarganya dan hanya mengetahui tiga perkataan Bahasa Ingerris – garam, epal dan telur.
Cintanya terhadap permainan yang indah ini telah membawanya ke Football United, sebuah program yang membantu pelarian yang diintegrasikan di Australia, dan hidupnya mula berubah.
“Football United membuatkan saya berasa lebih yakin dengan bahasa Inggeris dan saya baru sahaja membukakan hati saya untuk semua,” kata Habeb, memberitahu AFP semasa berada di acara ‘gala day’ di Sydney yang menyatukan pasukan itu dalam kejohanan persahabatan.
“Saya bertemu dengan ramai kawan di Football United … kini kebanyakan daripada mereka adalah rakan karib saya. Saya suka berkomunikasi dengan orang ramai, terutamanya anak-anak muda seperti saya.”
Pelarian memaparkan sejarah bola sepak Australia. Bekas ketua badan bola sepak Persekutuan Australia, juga ahli perniagaan jutawan Frank Lowy, adalah seorang pelarian Yahudi dari Eropah Timur yang tiba dengan hanya satu beg pakaian dan tidak pandai berbahasa Inggeris pada awal 1950-an.
Penyiar veteran Les Murray, yang suaranya sinonim dengan bola sepak di Australia, telah dilahirkan di Laszlo Urge, Hungary, pada tahun 1945 dan tiba di Down Under satu dekad kemudian.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, program seperti Football United telah membantu belia-belia pelarian, termasuklah Sarah Glaoo, 17, warga Iraq dan Suliman Alkhateeb, 19 tahun, warga Syria. Kedua-dua mereka telah tiba di Sydney tahun lepas ketika Australia membukakan 12,000 tempat pelarian tambahan bagi mereka yang melarikan diri dari konflik di Syria dan Iraq.
Ia adalah ikatan kukuh bola sepak Australia bersama dengan para pelarian yang mana menarik perhatian pengasas program warga Amerika, Anne Bunde-Birouste. Bunde-Birouste tinggal di Paris pada tahun 1998 semasa pasukan kebangsaan Perancis memenangi Piala Dunia pada ketika itu.
“Kemenangan Perancis telah menghakis semua pandangan awam kerana pasukan itu mempunyai pelbagai budaya didalamnya. Jadi ia membawa seluruh negara itu bersatu,” jelas Bunde-Birouste kepada AFP.
“Mengetahui bahawa ia adalah sukan dunia, saya hanya mahu mencuba dan melihat apa yang boleh kita lakukan di Australia untuk membantu kanak-kanak pelarian.”
Beberapa tahun kemudian, pensyarah universiti itu telah menubuhkan klinik Football United pertama di Australia, dan ribuan belia telah mengunjunginya. Daya tarikan utama adalah kos yang rendah, kata Natasha Hill, penyelaras komunikasi program tersebut.
Sukan yang teratur sangat mahal di Australia dan dengan beberapa pelarian yang datang daripada keluarga besar, mendaftarkan setiap anak mereka di kelab tempatan adalah begitu sukar. Oleh itu, Football United telah menyediakan pendaftaran masuk yang mudah bagi belia-belia ini untuk mencipta persahabatan baru.
Mereka kemudiannya dapat mengembangkan kebolehan permainan bola sepak mereka sambil belajar mengenai kebudayaan Australian dan kemahiran hidup seperti menentukan matlamat dan pengurusan masa.
“Kebanyakan mereka datang daripada … keluarga yang susah dari tempat asal mereka,” kata Hill kepada AFP.
“Memandangkan Australia adalah sebuah negara pelbagai budaya, apabila mereka datang ke sini, ia adalah sesuatu yang baru buat mereka. Seperti berada di negara mereka, bergabung menjadi satu kaum. Program kami dapat membantu mereka berintegrasi dengan budaya lain.”
Pada ‘hari gala’ itu baru-baru ini, para belia tersebut telah telah mengikuti forum inspirasi yang disampaikan oleh Honey Thaljieh, pengurus komunikasi korporat bagi perbadanan pentadbiran dunia FIFA, yang dibesarkan di Palestin.
Thaljieh amat yakin akan kuasa bola sepak. Ia mampu meninkatkan kehidupan kanak-kanak yang telah mengalami konflik dan kesusahan.
“Ia akan mengubah kehidupan mereka jika mereka mempercayainya dan bertekad pada diri mereka serta bekerja keras,” kata Thaljieh, pengasas bersama dan kapten pasukan bola sepak kebangsaan wanita Palestin yang pertama.
“Sukan secara umumnya dan bola sepak secara khususnya adalah alat terbaik bagi belia-belia, kanak-kanak lelaki dan perempuan kerana sukan itu dapat menyatukan semua orang.”
Bagi Glaoo yang baru saja tiba baru-baru ini, Football United telah memberikannya peluang untuk mempamerkan kemahirannya di padang. Selepas menjaringkan gol untuk pasukan sekolahnya itu, remaja tersebut mengimpikan untuk langkah seterusnya, termasuklah memenangi kejohanan pada tahap yang lebih tinggi. – AFP