Boleh balik kampung mulai esok

KUALA LUMPUR, 8 JUN – Pada sambutan Aidilfitri yang lalu, ramai perantau sayu, khususnya ketika mendengar lagu-lagu raya kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman, namun bermula Rabu ini, lagu ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad pastinya trending kerana pergerakan pulang ke destinasi yang didambakan itu dibenarkan.

Berita gembira itu dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam semasa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir esok (Selasa), sekali gus menyaksikan larangan rentas negeri ditarik balik.

Kebenaran rentas negeri  itu pastinya menamatkan kerinduan warga kota termasuk golongan bujang yang mahu pulang ke kampung dan menziarahi ibu bapa selepas ‘terpisah’ hampir tiga bulan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.

Pastinya, jumlah kenderaan di lebuh raya utama akan meningkat selepas Rabu ini, kerana orang ramai tidak perlu lagi ‘mencuba nasib’ merentas negeri pulang ke kampung halaman. Majikan juga pasti akan menerima lambakan permohonan cuti daripada pekerja masing-masing.

Malah, sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijangka pada 31 Julai ini pasti akan lebih meriah selepas perayaan dan ibadah korban turut dibenarkan, namun perkara itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam.

Serentak itu juga, lebih banyak kebenaran diberikan antaranya aktiviti komersil melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan, lawatan ke muzium, aktiviti ‘indoor busking’, akitiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersil dalam tempoh PKPP itu, manakala kelonggaran bagi solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula sedang diteliti.

Namun, masih terdapat beberapa aktiviti dilarang antara-nya perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara dan rumah terbuka serta beberapa jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang melibatkan sentuhan badan, penonton dan perhimpunan penyokong.

Selaras dengan fasa pemulihan ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik juga dibenarkan, namun bagi yang berhasrat melancong ke luar negara, kenalah ‘tunggu dahulu’ kerana sempadan negara masih ditutup buat masa ini. – Bernama

Perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – BernamaIa merupakan antara beberapa kelonggaran yang dibenarkan ketika negara berada dalam fasa pemulihan COVID-19.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir esok akan diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Kelihatan kenderaan yang melalui sempadan Tampin-Pulau Sebang ketika tinjauan fotoBernama hari ini.
— fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA