Boleh beroperasi pada kapasiti 100 peratus

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Pelaksanaan pelan de-escalation bagi pusat penjagaan kanak-kanak (CCC), pusat orang kelainan upaya (OKU), muzium, galeri pameran dan perpustakaan memasuki tahap keempat di mana ia dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus.

Manakala itu, pusat kegiatan warga emas (PKWE) pula dinaikkan kepada tahap ketiga, di mana pusat berkenaan dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 80 peratus.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin mengumumkan perkara berkenaan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Yang Berhormat Dato menjelaskan lanjut, CCC akan dibukakan kepada kanak-kanak tanpa mengehadkan umur dan tidak mempunyai simptom seperti demam, selesema atau berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk dan pusat-pusat berkenaan akan melalui kelulusan hasil pemeriksaan pihak kementerian sebelum dibenarkan untuk beroperasi.

Bagi pusat OKU pula, ia akan dibukakan kepada semua golongan OKU yang tidak mempunyai penyakit kronik.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Muzium, galeri dan perpustakaan pula dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti tidak melebihi 100 orang dalam satu masa tertakluk kepada kapasiti ruang berkenaan.

Manakala itu, bagi PKWE, antara peraturan tahap ketiga termasuk kapasiti penggunaan ditingkatkan daripada 60 peratus kepada 80 peratus dalam satu masa tertakluk kepada kapasiti ruang pusat berkenaan.

Syarat dan garis panduan lain bagi CCC, pusat OKU, muzium-muzium, galeri-galeri pameran dan perpustakaan serta PKWE adalah sama seperti yang sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis pandu Kementerian Kesihatan khususnya dalam mengamalkan tanggungjawab sosial, penjarakan fizikal serta memastikan kebersihan diri dan persekitaran pada setiap masa demi memastikan keselamatan semua pihak.

Pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan penggunaan aplikasi BruHealth untuk tujuan pendaftaran dan mengimbas kod QR apabila masuk dan keluar setiap pusat dan fasiliti adalah terus dilaksanakan.