Boleh tanam jagung mulai 15 Ogos

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan memaklumkan bahawa larangan terhadap penanaman jagung di negara ini akan ditamatkan mulai 15 Ogos.

Ini adalah hasil pemantauan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan yang mendapati bahawa tidak ada Ulat Ratus Fall (nama saintifik Spodoptera frugiperda) di kawasan bekas-bekas penanaman tanaman jagung dan termasuklah tidak ada tanda-tanda serangan pada tanaman-tanaman yang ada di sekeliling kawasan berkenaan yang berkemungkinan menjadi hos alternatif atau perumah sementara kepada ulat berkenaan.

KSSUP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan, penamatan larangan berkenaan adalah selepas masa tiga bulan ditetapkan untuk memutuskan kitaran hayat Ulat Ratus Fall secara keseluruhan.

Oleh itu, para peladang dan orang ramai kini dibenarkan dan dialu-alukan untuk melakukan penanaman semula tanaman jagung.

Pada 7 Mei lalu, KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, telah mengambil langkah pengawalan drastik untuk memutuskan kitaran hayat dan mengurangkan pembiakan Ulat Ratus Fall iaitu dengan mengeluarkan perintah bertulis kepada semua peladang jagung di negara ini bagi penghapusan atau pemusnahan tanaman jagung di ladang-ladang mereka selaras dengan peruntukan di bawah Bab 13 (11) Binatang-binatang Musuh Pertanian dan Tumbuhan-tumbuhan yang Merosakkan, Penggal 43.

KSSUP mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama padu dan kesefahaman para peladang memusnahkan tanaman jagung bagi usaha menghapuskan populasi itu dan melindungi industri pertanian serta melindungi sekuriti makanan negara.

Gambar fail pada Mei lalu menunjukkan tanaman jagung dirosakkan oleh Ulat Ratus Fall. Kementerian itu hari ini memaklumkan larangan penanaman jagung akan ditamatkan pada 15 Ogos ini.