Sunday, November 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bolehkah mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan perantaraan orang lain?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ibadat haji dan umrah diwajibkan ke atas setiap orang yang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji dan umrah. Antara syarat-syarat wajib haji dan umrah itu ialah berkemampuan.

    Jika seseorang itu tidak berkemampuan maka tidak wajib ke atasnya ibadat haji dan umrah.

    Kemampuan mengerjakan ibadat haji dan umrah itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

    1. Mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri.
    2. Mampu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

    Ibadat haji dan umrah pada asalnya dituntut mengerjakannya dengan sendiri dan bukan dengan perantaraan orang lain. Ini kerana ibadat haji dan umrah itu merupakan ibadat yang berkaitan dengan kemampuan iaitu dengan tenaga dan hartanya, sama ada haji fardhu ataupun umrah fardhu, lebih-lebih lagi ibadat haji sunat dan umrah sunat.

    Walau bagaimanapun, terdapat kelonggaran dalam syara‘ bagi orang yang tidak berkemampuan mengerjakan haji dan umrah dengan sendiri. Oleh itu orang yang tidak berkemampuan boleh mengerjakannya dengan perantaraan orang lain yang mana kelonggaran ini tidak diberikan kepada orang yang berkemampuan mengerjakannya dengan diri sendiri.

    Foto Canva

    Orang yang tidak mampu mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan sendiri, wajib ke atasnya mengerjakan haji dan umrah itu dengan perantaraan orang lain apabila dia mempunyai kemampuan dari segi harta. Oleh itu, akan diterangkan keadaan yang membolehkan seseorang itu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

    KEWAJIPAN HAJI DAN UMRAH DENGAN PERANTARAAN ORANG LAIN

    Keadaan yang membolehkan seseorang itu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain terbahagi kepada dua keadaan sebagaimana disebutkan oleh Sayyid al-Bakri Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab I‘anah ath-Thalibin katanya:

    Keadaan istitha‘ah yang kedua: Mampu (mengerjakan haji dan umrah) dengan perantaraan orang lain, dan dikatakan (mampu dalam kategori kedua ini) dengan mampu dari segi harta sahaja, dan berlaku kepada orang yang meninggal dunia (yang masih menanggung kewajipan haji dan umrah) dan orang lemah (yang tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri).

    Keadaan pertama: Orang yang meninggal dunia tertanggung ke atasnya ibadat haji atau umrah.

    Jika seseorang itu meninggal dunia dan dia tidak menunaikan ibadat haji atau umrah semasa hidupnya sama ada haji atau umrah qadha, haji atau umrah nazar ataupun haji atau umrah yang diupahkan ke atasnya, sedangkan dia mampu mengerjakannya, maka kewajipan haji atau umrah itu masih tertanggung ke atasnya.

    Kewajipan haji atau umrah yang tertanggung ke atas orang yang meninggal dunia itu adalah sama halnya dengan kewajipan membayar hutang yang tertanggung ke atas si mati. Ini kerana kewajipan membayar hutang tidak akan luput walaupun sesudah orang itu meninggal dunia.

    Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallallahu ‘anhuma bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji lalu dia mati sebelum mengerjakan haji, adakah aku mengerjakan haji untuknya? Baginda bersabda: Ya, kerjakanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya? Dia menjawab: Ya. Baginda Bersabda: Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.
    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    • Siapakah yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah bagi si mati?

    Orang yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah bagi pihak si mati yang tertanggung ke atasnya haji dan umrah adalah seperti berikut:

    a. Orang yang diwasiatkan oleh si mati untuk mengerjakan haji atau umrah bagi diri si mati.

    b. Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka kewajipan mengerjakan haji atau umrah itu berpindah kepada ahli waris si mati.

    c. Jika tidak ada ahli waris yang boleh mengerjakan haji atau umrah bagi diri si mati maka kewajipan mengerjakan haji atau umrah itu berpindah kepada hakim.

    Orang yang diwajibkan mengerjakan haji atau umrah bagi pihak si mati itu harus dia mengerjakannya sama ada dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain.

    • Mengerjakan haji dan umrah bagi si mati dari harta peninggalannya.

    Orang yang mengerjakan haji dan umrah bagi si mati yang tertanggung ke atasnya haji atau umrah itu hendaklah dia melaksanakannya dengan segera dan perbelanjaannya diambil dari harta peninggalan si mati. Hal ini disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj yang katanya:

    (Menghajikan) atau mengumrahkan (baginya iaitu si mati dari harta peninggalannya) dikerjakan dengan segera.

    • Si mati tidak ada harta peninggalan

    Jika si mati tidak ada harta peninggalan, maka tidak wajib ditunaikan ibadat haji atau umrah itu untuk si mati. Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris mengerjakan haji dan umrah untuk si mati. Demikian juga sunat bagi orang asing mengerjakan haji dan umrah untuk si mati walaupun tanpa izin ahli waris. Sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala katanya:

    Apabila (seseorang itu meninggal dunia) dan tidak meninggalkan harta nescaya tidak wajib seseorang itu haji dan tidak juga wajib dihajikan untuknya, akan tetapi sunat bagi ahli waris dan orang asing (mengerjakan haji bagi si mati) walaupun orang asing itu tidak mendapat keizinan ahli waris.

    • Tidak sempat menunaikan haji atau umrah setelah cukup syarat

    Jika seseorang itu mampu mengerjakan haji dan umrah akan tetapi dia tidak sempat mengerjakannya seperti kerana meninggal dunia atau gila atau hilang hartanya atau lemah kerana sakit sebelum para jemaah mengerjakan haji dan umrah, maka tidak dikerjakan haji dan umrahnya itu dari harta peninggalannya.

    Demikian juga, orang yang meninggal dunia yang tidak tertanggung ke atasnya haji dan umrah kerana dia tidak berkemampuan semasa hidupnya maka tidak wajib ke atas ahli waris mengerjakan haji atau umrah untuk si mati dari harta peninggalan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda