Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Bolehkah menyatukan puasa qadha dengan puasa Sunat?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka orang itu akan mendapat pahala seolah-olah pahala berpuasa sepanjang tahun. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun”.(Hadis riwayat Muslim)

    Namun bagaimana jika seseorang hendak berpuasa enam dalam bulan Syawal sedangkan dia mempunyai puasa qadha Ramadan yang belum dibayar, kerana menqadha puasa Ramadan yang ditinggalkan adalah wajib sama ada puasa Ramadan itu ditinggalkan dengan sengaja ataupun disebabkan keuzuran syar‘ie.

    Di sini apa yang menarik, sesiapa saja yang mempunyai puasa qadha Ramadan, dia boleh saja menyatukannya dengan puasa-puasa sunat yang lain sama ada menyatukan dengan puasa ‘asyura, hari ‘Arafah, puasa di bulan Syaban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, termasuk puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain. Namun begitu, perlu dilihat terlebih dahulu apakah sebab puasa Ramadan itu ditinggalkan, kerana perbezaan sebab meninggalkan puasa Ramadan akan menentukan sama ada boleh atau tidak menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat. Maka untuk lebih jelas akan diterangkan bagaimana boleh menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat itu.

    Sebab meninggalkan puasa Ramadan

    Untuk mengetahui sama ada boleh atau tidak menyatukan puasa Ramadan dengan puasa sunat itu maka perlu dilihat sebab seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan itu. Orang yang meninggalkan puasa Ramadan terbahagi kepada dua, iaitu:

    Meninggalkan puasa Ramadan bukan disebabkan uzur syar‘ie iaitu dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara‘.

    Meninggalkan puasa Ramadan disebabkan uzur syar‘ie seperti kerana datang haidh atau nifas atau sakit atau musafir.

    Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka orang itu akan mendapat pahala seolah-olah pahala berpuasa sepanjang tahun.

    Menyatukan puasa qadha dengan puasa Sunat

    Kedua-dua sebab yang disebutkan di atas menghasilkan hukum yang berbeza dalam perkara menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat. Untuk jelasnya diterangkan seperti berikut:

    Hukum menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat jika meninggalkan puasa Ramadhan bukan disebabkan uzur syar‘ie.

    Adalah haram ke atas seseorang melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawal jika dia meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja, kecuali setelah selesai mengqadha puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu.

    Oleh kerana orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja itu haram ke atasnya melakukan apa jua jenis puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawal selagi puasa Ramadhan yang ditinggalkannya belum diqadhanya, maka dia tidaklah boleh menyatukan puasa enam Syawal dengan puasa qadha yang ditinggalkan dengan sengaja itu, melainkan setelah selesai dia mengqadha puasa yang ditinggalkan dengan sengaja itu.

    Hukum menyatukan puasa qadha dengan puasa sunat jika meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan uzur syar‘ie.

    Adalah sunat hukumnya bagi orang yang meninggalkan puasa yang diharuskan oleh syara‘ melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam bulan Syawal. Oleh itu, jika seseorang ingin melakukan puasa qadha yang ditinggalkannya kerana uzur, maka bolehlah dia menyatukan niat puasa qadha tersebut dengan niat puasa-puasa sunat yang hendak dilakukannya seperti puasa enam bulan Syawal.

    Pahala mensatukan niat puasa qadha dengan niat puasa Sunat

    Mengenai perkara ini, Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam fatwanya menjelaskan, bahawa orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib akan mendapat ganjaran pahala bagi kedua-dua puasa yang diniatkannya itu sebagaimana katanya:

    “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjaran pahalanya.”

    Bagaimanakah lafaz niat puasa yang disatukan itu?

    Niat bagi orang yang hendak menyatukan puasa qadha Ramadan disebabkan kerana ada uzur yang dibolehkan oleh syara‘ dengan puasa-puasa sunat seperti puasa enam bulan Syawal, maka bolehlah dia berniat bagi kedua-dua puasa yang disatukannya itu seperti contoh:

    “Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.”

    Dengan berbuat demikian, maka dia akan mendapat dua ganjaran pahala iaitu pahala puasa qadha dan pahala puasa sunat tersebut.

    Perkara ini sama dengan orang yang berniat puasa wajib, sama ada puasa qadha atau puasa nazar pada hari ‘Arafah. Jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha dan puasa sunat hari ‘Arafah, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

    Maka sebagai kesimpulan, orang yang meninggalkan puasa Ramadan disebabkan uzur syar‘ie bolehlah dia melakukan puasa sunat enam di bulan Syawal dengan menyatukan niat puasa sunat enam Syawal itu dengan puasa qadha Ramadan yang ditinggalkannya disebabkan uzur syar‘ie.

    Namun ganjaran pahalanya tidaklah sama sepertimana ganjaran pahala orang yang berpuasa penuh di bulan Ramadan dan melakukan puasa sunat enam syawal sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas.

    Namun begitu, akan tetap juga mendapat ganjaran pahala kedua-dua puasa yang diniatkannya itu.

    Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja, adalah haram baginya mengerjakan puasa sunat melainkan setelah dia selesai mengqada puasa Ramadan yang ditinggalkannya dengan sengaja itu, dan dia tidak dapat mensatukan niat puasa qada dengan puasa sunat yang lain seperti puasa sunat enam syawal.

    Demikianlah penjelasan yang berkaitan dengan mensatukan puasa qada Ramadan dengan puasa sunat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...