Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bolehkah mesin undi India digodam?

    NEW DELHI – Penggunaan mesin-mesin undi elektronik (EVMs) dianggap kaedah yang mudah dan cepat untuk menjalankan pilihan raya. Alat-alat itu dapat memberikan keputusan pilihan raya dengan cepat bagi negara seperti India yang mempunyai saiz pengundi yang amat besar.

    Walaupun penganjuran pilihan raya peringkat negeri dan negara masih mengambil masa berminggu-minggu dan berbulan-bulan di India, negara demokrasi terbesar dunia itu boleh mendapat keputusan dari EVMs dalam masa dua hingga tiga jam sahaja berbanding 30 hingga 40 jam jika menggunakan undi kertas.

    Bagaimanapun, sejauh manakah ketepatan peranti itu? Bolehkah ia digodam untuk mencuri pilihan raya? Boleh EVMs dimanipulasi?

    Dimanipulasi

    Ahli politik terkemuka India Mayawati percaya bahawa EVMs telah dimanipulasi untuk memberikan kemenangan luar biasa kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) di Uttar Pradesh, yang merupakan wilayah politik yang paling penting di India. Mayawati mengetuai parti Samaj Party Bahujan (BSP), iaitu parti pembela golongan kasta rendah serta terpinggir, dan mendapat sokongan agak besar di negeri ini yang menyumbang kepada satu per enam daripada 1.25 bilion penduduk India.

    Selepas trend pada 11 Mac, yang menyaksikan Perdana Menteri Narendra Modi dari parti BJP memenangi lebih 320 daripada keseluruhan 403 kerusi, Mayawati mendakwa terdapat unsur penipuan dan menuntut agar siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya India. BSP memenangi 19 kerusi, hanya satu perempat daripada jumlah keseluruhan dalam pilihan raya sebelumnya. “Nampaknya mesin mengundi belum mendaftar undi yang memihak kepada parti lain, atau kesemua undi telah memilih BJP,” dakwa beliau.

    Penggunaan mesin-mesin undi elektronik (EVMs) dianggap kaedah yang mudah dan cepat untuk menjalankan pilihan raya.
    Penggunaan mesin-mesin undi elektronik (EVMs) dianggap kaedah yang mudah dan cepat untuk menjalankan pilihan raya.

    Disiasat

    Akhilesh Yadav, yang bakal melepaskan jawatan Ketua Menteri Uttar Pradesh, menyokong desakan Mayawati agar disiasat walaupun beliau telah menerima kekalahan mengejut itu tanpa membuat dakwaan serupa. Bagaimanapun, Harish Rawat, yang kehilangan jawatan ketua menteri di Uttarakhand selepas parti Kongresnya kalah teruk di negeri berbukit-bukau itu, pula menyindir. Bercakap kepada media, beliau memberikan kredit kemenangan BJP kepada “EVM Chamatkar” (keajaiban mesin undi).

    Jurucakap Kongres Randeep Surjewala berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu memberi perhatian terhadap keraguan Mayawati “agar dapat memadam semua keraguan mengenai integriti, kejujuran dan kesaksamaan proses pilihan raya yang intrinsik untuk menegakkan tradisi demokrasi di negara kita.”

    India menggunakan EVMs untuk pilihan raya negeri dan parlimen negara. Pada masa dahulu, terdapat juga dakwaan bahawa berlaku manipulasi EVMs, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya bersumpah demi kecekapan dan kebolehpercayaan sistem itu.

    Menjawab dakwaan terkini, suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan terperinci yang menyenaraikan sebab-sebab untuk menerima pakai EVMs, ciri-ciri teknikal dan keselamatan, keputusan mahkamah dan hujah-hujah kegunaannya serta faedah-faedah lain.

    “Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai keyakinan kuat dan kepuasan penuh bahawa EVMs tidak boleh dicerobohi,” katanya pada Sabtu. “Walaupun Suruhanjaya telah menawarkan peluang lebih daripada sekali kepada orang-orang yang mendakwa bahawa sistem EVM diganggu, tidak ada sesiapa yang dapat menunjukkan kepada Suruhanjaya bahawa EVM yang digunakan dalam proses pilihan raya di negara ini, boleh dimanipulasi atau dicerobohi,” katanya.

    Pengkritik EVMs mempertikaikan bahawa tanpa sebarang jejak kertas, mandat pilihan raya tidak boleh diaudit dan penipuan tidak boleh dikesan dengan nyata. Sistem e-mengundi (e-voting) di Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai mesin mengundi direct-recording electronic (rakaman langsung elektronik ) (DRE).

    Alat-alat itu dapat memberikan keputusan pilihan raya dengan cepat bagi negara seperti India yang mempunyai saiz pengundi yang amat besar.
    Alat-alat itu dapat memberikan keputusan pilihan raya dengan cepat bagi negara seperti India yang mempunyai saiz pengundi yang amat besar.
    Ahli politik terkemuka India Mayawati percaya bahawa EVMs telah dimanipulasi untuk memberikan kemenangan luar biasa kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) di Uttar Pradesh, yang merupakan wilayah politik yang paling penting di India.
    Ahli politik terkemuka India Mayawati percaya bahawa EVMs telah dimanipulasi untuk memberikan kemenangan luar biasa kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) di Uttar Pradesh, yang merupakan wilayah politik yang paling penting di India.

    Negara-negara demokrasi seperti Jerman, Jepun dan Britain yang mempunyai sistem pilihan raya yang maju tidak menggunakan mesin seumpama itu. Terdapat banyak kertas penyelidikan dan artikel-artikel teknikal yang menimbulkan keraguan mengenai integriti mesin e-mengundi.

    Berikutan pilihan raya presiden AS pada tahun lepas, kebimbangan mengenai penggunaannya dibangkitkan semula. Kira-kira satu perlima daripada pengundi AS menggunakannya untuk mengundi pada November lepas.

    Tidak jujur

    “Pemasangan perisian baharu adalah cara sesebuah mesin undi digodam untuk menipu. Pada tahun 2009, di Mahkamah Agung New Jersey, saya menunjukkan bagaimana cara menggodam mesin undi. Saya menulis sebuah program mengenai mencuri undi komputer yang boleh mengalihkan undi-undi daripada satu calon kepada yang lain. Proses memasang program mencuri undi ke dalam sesebuah mesin undi hanya mengambil masa tujuh minit untuk sesebuah mesin, dengan menggunakan pemutar skru,” Andrew Appel, seorang profesor komputer dan pakar pilihan raya Princeton, berkata dalam komennya di dalam sebuah artikel di laman sesawang whowhatwhy.org.

    Pengarang-pengarang kertas kerja mengenai EVMs India, yang boleh didapati di laman web jhalderm.com, menegaskan bahawa mesin-mesin boleh dimanipulasi oleh orang dalaman pilihan raya yang tidak jujur atau penjenayah-penjenayah dengan menggantikan bahagian-bahagian EVMs dengan komponen berbahaya yang kelihatan sama.

    “Serangan seperti ini adalah jauh lebih mudah dan lebih murah dengan reka bentuk EVMs yang sangat minimal, dan ia boleh dilakukan tanpa penglibatan mana-mana pegawai di lapangan pengundian,” kata mereka.

    Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya India mengambil sikap acuh tak acuh mengenai kebimbangan itu dan tegas mempertahankan integriti sistemnya dalam satu bahagian mengenai soalan lazim (FAQ) di laman sesawangnya. Antara kelebihan yang dipetik dalam laman sesawang suruhanjaya itu ialah penjimatan kos yang besar, kemudahan pengangkutan dan penyimpanan mesin, perlindungan terhadap “booth capturing”, dan memansuhkan keperluan menggunakan sejumlah besar kakitangan pengiraan undi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda