Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Bolehkah tidak berpuasa demi keselamatan orang lain?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Sambungan minggu lalu

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Diwajibkan untuk berbuka puasa bagi sesiapa yang menyelamatkan nyawa manusia yang dilindungi nyawanya atau untuk menyelamatkan haiwan yang patut diselamatkan (muhtaram) daripada terkorban atau kebinasaan seperti lemas, kehilangan anggota tubuh badan atau kehilangan manfaatnya dan selainnya, sekiranya dia tidak mampu melepaskannya atau menyelamatkannya kecuali dengan dia berbuka puasa. Khusus bagi mereka yang berada dalam situasi seumpama ini, hukum yang berjalan ke atasnya adalah serupa dengan perempuan hamil dan yang menyusukan dalam perkara keharusan berbuka, iaitu wajib dia mengqadha’ puasanya itu dan membayar fidyah.

    Adalah harus berbuka puasa kerana menyelamatkan harta, seperti menyelamatkan hasil tuaian atau seumpamanya daripada hilang, rosak atau kerugian. Harus baginya berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa atau meneruskan berpuasa, dia akan lemah untuk menuai tanamannya pada siang hari, dan dengan syarat berbuka puasa itu hanya sebagai jalan terakhir yang boleh menyelamatkan harta tersebut. Dalam masa yang sama, disyaratkan juga menuai tanaman tersebut pada waktu malam akan membebankannya.

    Kewajipan mengqadha’ puasa dan fidyah

    Oleh kerana perempuan yang hamil dan yang menyusukan anak diberikan rukhshah (keringanan) untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa, khususnya ketika dia menghadapi beberapa masalah semasa berpuasa, sama ada masalah itu ditakuti menjejaskan keselamatan ibu sahaja atau janin dalam kandungan sahaja atau anak sahaja, ataupun kedua-duanya sekali, maka persoalan lain yang timbul ialah adakah wajib ke atasnya untuk mengqadha’ puasa tersebut?

    Menurut ulama, kewajipan mengqadha’ puasa itu tetap tertanggung ke atas perempuan yang hamil dan yang menyusukan anak yang berbuka puasa, iaitu diwajibkan ke atas mereka untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkan. Akan tetapi berkenaan kewajipan membayar fidyah, penjelasan mengenainya seperti berikut:

    Jika dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya sahaja, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasanya yang ditinggalkannya dan tidak dikenakan fidyah.

    Harus berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa atau meneruskan berpuasa, akan melemahkan mereka yang menuai tanamannya pada siang hari, dan dengan syarat berbuka puasa itu hanya sebagai jalan terakhir yang boleh menyelamatkan harta tersebut.

    Jika dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya dan juga anak tersebut, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasanya dan tidak dikenakan fidyah.

    Termasuk juga dalam hal ini mereka yang berbuka puasa kerana menyelamatkan harta, dia diwajibkan untuk mengqadha’ hari yang dia berbuka dan tidak dikenakan fidyah.

    Jika dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudaratan hanya ke atas anak tersebut sahaja, maka diwajibkan ke atasnya kedua-duanya sekali, iaitu qadha’ dan juga fidyah.

    Bagi perempuan yang menyusukan anak, sekiranya dia berbuka puasa disebabkan oleh beberapa orang anak yang disusukannya, maka dia dikenakan satu fidyah untuk satu hari yang dia berbuka sahaja dan fidyah itu pula tidak berganda.

    Bagi perempuan yang menyusukan anak dengan mengambil upah dan yang menyusukan tanpa upah, fidyah yang dikeluarkan adalah daripada hartanya sendiri.

    Dalam situasi ini, menurut pendapat al-ashah (pendapat yang lebih sahih), sesiapa yang berbuka kerana menyelamatkan nyawa manusia yang dilindungi nyawanya (ma‘shum), maka dari segi mengqadha’ puasa dan juga membayar fidyah, dia adalah serupa dengan perempuan yang menyusukan anak.

    Sekiranya dia berbuka puasa atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya sahaja, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasanya yang ditinggalkannya dan tidak dikenakan fidyah. Sekiranya dia berbuka puasa atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya dan juga orang yang diselamatkannya itu, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut.

    Sekiranya dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudaratan hanya ke atas orang yang diselamatkannya itu sahaja, maka diwajibkan ke atasnya kedua-duanya sekali, iaitu qadha’ dan juga fidyah.

    Sebagai kesimpulan, terdapat keadaan-keadaan yang mengharuskan seseorang untuk tidak berpuasa atau berbuka puasa disebabkan sesuatu perkara atau disebabkan untuk menjaga keselamatan orang lain. Malahan dalam keadaan tertentu, seseorang diwajibkan untuk berbuka puasa, seperti perempuan yang hamil dan yang menyusukan anak sekiranya mereka takut berlaku kemudaratan terhadap anak tersebut atau seperti berbuka puasa agar tidak kehilangan upaya dan tenaga demi menyelamatkan orang yang lemas. Akan tetapi mereka yang diharuskan ataupun diwajibkan untuk berbuka puasa adalah diwajibkan untuk mengqadha’nya dan menurut keadaan tertentu juga diwajibkan untuk membayar fidyah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...