Bolillo melangkah tinggalkan Panama

PANAMA CITY, 18 Julai – Hernan Dario Gomez berkata dia meletak jawatan sebagai jurulatih pasukan Panama selepas membawa negara itu ke persaingan Piala Dunia pertama mereka.

“Sekarang bagi saya, sudah tiba masanya bagi keputusan sukar untuk menggerakkan kaki saya dari tempat di mana saya meletakkan hati saya,” tulis jurulatih dari Colombia itu, yang dikenali sebagai Bolillo, dalam sepucuk surat yang diterbitkan oleh Persekutuan Bola Sepak Panama.

Media Panama melaporkan Gomez mengambil alih pasukan Ecuador, yang menamatkan tangga kelapan dalam kumpulan kelayakan Piala Dunia 10 pasukan dan gagal mara ke Rusia.

Gomes sebelum ini pernah melatih pasukan Ecuador bermula tahun 1999 sehingga 2004 dan membawa mereka ke Piala Dunia tahun 2002, empat tahun selepas membawa negara asalnya, Colombia ke persaingan tersebut.

Hernan Dario Gomez (tengah) ketika mengawasi sesi latihan pasukannya di Nizhny Novgorod, Rusia bulan lepas. – AP

Gomez mengendali pasukan Panama pada tahun 2014 dan membimbing mereka ke kedudukan ketiga kelayakan dalam kumpulan serantau, menerusi jaringan minit ke-88 dalam perlawanan terakhir mereka, yang membolehkan mereka menyingkirkan Honduras menerusi perbezaan jaringan dan AS dengan satu mata.

Di Rusia, Panama jelas bergelut untuk mempamerkan permainan, tewas kepada Belgium, England dan Tunisia, bolos 11 gol sambil hanya menjaringkan dua gol.

“Rusia 2018 adalah satu permulaan, saya memenuhi janji saya untuk membawa Panama ke persaingan bola sepak Piala Dunia pertamanya dan ia akan kekal di hati saya, dan semua rakyat Panama sepanjang hayat saya,” tulis pengurus berusia 62 tahun itu.

“Panama berada dalam laluan selamat untuk terus melakarkan sejarah dalam bola sepak.” – AFP