Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Sebagai pembukaan kepada Sukan Olimpik Khas Kebangsaan (SOBD) Kali Ke-9, acara Sukan Boling telah membuka tirai sukan berkenaan di Utama Boling di Batu Satu, Jalan Tutong di ibu negara.
Sukan Boling menjadi pembuka kejohanan anjuran Unit Pendidikan Khas dengan kerjasama Special Olimpik Brunei Darussalam serta pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebelum diteruskan pada Ahad ini nanti dengan penampilan beberapa sukan lain termasuk Sukan Olahraga, Bola Sepak, Bocce, dan Badminton.
Antara tujuan kejohanan adalah memberikan pendedahan kepada kalangan orang kurang upaya (OKU), sekali gus menjadi platform menampilkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam acara sukan.
Selain menjadi platfrom, sukan yang dianjurkan ini juga akan memberikan latihan kepada para peserta dan sekali gus membentuk warga OKU yang sihat dan berdaya saing tinggi.
“Alhamdullilah sambutan sangat baik dan lebih meriah kerana tahun ini lebih ramai ibu bapa serta penjaga yang datang untuk memberikan sokongan dan menyaksikan anak mereka bertanding,” ujar jurulatih boling kumpulan SOBD megastrike, Pengiran May Fazura Pengiran Haji Radin Hanafi.

Mengulas pula mengenai perkembangan terkini pencapaian SOBD, katanya pingat-pingat yang diraih adalah membanggakan baik bagi acara sukan dalam negara atau di luar negara.
“Akan tetapi, dukacitanya sejak 2004 sampai sekarang, pihak tertentu belum ada yang menghargai pencapaian mereka setaraf dengan atlet yang berkeupayaan dari aspek insentif, kerana setakat ini atlet kurang upaya ini turut menyumbangkan pingat dan mengharumkan nama negara, misalnya di peringkat World Summer Games Special Olympics,” tegasnya.
Menurutnya, sudah tiba masanya kita di negara ini mengiktiraf dan mencontohi negara lain di rantau ini dengan memberikan dorongan dan sokongan. Dan menurutnya lagi, SOBD akan terus berusaha mempertahankan dan memperjuangkan hal ini.
“Selain itu, diharap para penjaga peserta akan terus memberikan kerjasama padu bagi memastikan para peserta akan melaporkan diri kepada bahagian acara yang diikuti lebih awal bagi memudahkan acara dijalankan,” ujarnya lagi.