MIAMI, 6 DIS – Nick Bollettieri, jurulatih tenis yang melahirkan ikon tenis dunia seperti Andre Agassi dan Monica Seles, meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun.
Meskipun kaedah yang pernah diajarnya kadangkala menimbulkan kontroversi, akademinya di Florida telah melahirkan pemain utama dunia.
Agassi, Maria Sharapova, Seles, Jim Courier, Anna Kournikova dan Mary Pierce semuanya pernah berlatih di kompleks Bradenton miliknya.
Bollettieri juga pernah melatih Venus dan Serena Williams serta Boris Becker.
Rutin yang membebankan untuk kanak-kanak dan remaja yang tinggal dan berlatih di akademi miliknya telah menghasilkan keputusan memberangsangkan namun tidak sepi daripada kritikan juga.
Hubungan beliau dengan beberapa orang anak didiknya, termasuk Agassi dan Seles, akhirnya menjadi dingin.
“Saya benci berada di akademi beliau,” kata Agassi.
“Satu-satunya cara supaya saya dapat keluar (daripada akademi tersebut) adalah melalui kemenangan.”
Namun, Bollettieri, kekal tidak menyesal.
“Saya buat apa yang perlu dilakukan. Tennis bukanlah sukan untuk budak yang lemah,” kata Bollettieri.
Bollettieri lahir di Pelham di pinggir bandar New York pada 31 Julai, 1931.
Beliau belajar dalam jurusan falsafah di kolej Katolik di Alabama, yang menjadi titik tolak beliau mula bermain tenis dengan kerap.
Selepas berkhidmat untuk tentera Amerika Syarikat di Korea, Bollettieri mengambil ijazah dalam bidang undang-undang di Miami namun meninggalkannya untuk menjadi jurulatih tenis profesional.
Pada satu tahap, semasa di Wisconsin, beliau melatih pemain muda bernama Brian Gottfried, yang kemudiannya menjadi pemain dunia ranking ketiga pada tahun 1977, yang turut menaikkan namanya di mata dunia.
Pada tahun 1978, beliau mengasaskan akademi tenis sendiri di Florida dengan Carling Bassett, 11, menjadi pelajar residennya yang pertama.
Pada tahun 1980, tajuk berita utama dalam Sports Illustrated bercakap mengenai Bollettieri, “Beliau akan menjadikan anak awda juara, namun ia takkan menjadi sesuatu yang menyeronokkan.” Bollettieri percaya dengan sesi pengulangan.
“Untuk mara, awda perlu mengulangi pukulan yang sama sebanyak 30,000 kali semasa berlatih. Itulah kadarnya, yang paling minimum.” – AFP