Bologna singkirkan Inzaghi

MILAN, 29 Jan – Pasukan bergelut Serie A, Bologna mengumumkan bahawa kelab itu telah memecat jurulatih, Filippo Inzaghi dan melantik pengendali dari Serbia, Sinisa Mihajlovic sebagai pengganti.

Pemilik Bologna dari Kanada, Joey Saputo menyifatkan bahawa kekalahan 0-4 ke atas kelab di tangga kedua tercorot pada Ahad lalu sebagai menyedihkan.

Di bawah kendalian Inzaghi, 45 tahun, pasukan itu hanya mencatatkan dua kemenangan musim ini, dengan kali terakhir menentang Roma dan Udinese pada September lalu dan hanya meraih tiga mata di atas zon penyingkiran.

Bologna mengucapkan terima kasih kepada bekas bos AC Milan dan penyerang itu atas ‘segala usaha yang dilakukan dan sikap profesional’ yang ditunjukkan sejak munci di Emilia-Romagna pada Jun lalu.

Pasukan itu berkata, pihaknya telah menandatangani kontrak bersama bekas pengendali kelab, Mihajlovic sehingga 30 Jun depan, dengan pilihan untuk melanjutkannya sehingga musim 2019-2020.

Mihajlovic, 49 tahun, yang memulakan karier kejurulatihannya sebagai seorang pembantu kepada bos Azzurri masa kini, Roberto Mancini di Inter Milan pada 2006, yang juga mengendali Bologna pada musim 2008-2009.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu telah dipecat oleh kelab Portugal, Sporting Lisbon pada Jun lalu selepas sembilan hari memegang tugas.

Pengendali itu memiliki pengalaman yang mencukupi di Itali bersama kelab seperti Fiorentina, Catania, Sampdoria, AC Milan dan Torino.

Bekas pertahanan antarabangsa Yugoslavia itu telah menghabiskan kariernya sebagai pemain dalam saingan Serie A bersama Roma, Sampdoria, Lazio dan Inter.

Bologna yang pernah menjuarai liga Itali sebanyak tujuh kali, pernah menjulang trofi kebangsaan pada 1964 dan iala UEFA Intertoto pada 1998. – AFP