Bolsonaro dijangkiti COVID-19 kali kedua

BRASILIA, 16 JULAI – Presiden Brazil, Jair Bolsonaro telah disahkan positif dijangkiti COVID-19 sekali lagi, menurut CNN Brazil kelmarin, memetik pemimpin berhaluan kanan itu telah menjalani ujian baharu pada Selasa.

Bolsonaro, yang berusia 65 tahun tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi, mengatakan bahawa dia akan tetap menjalani kuarantin di kediaman rasminya di Brasilia di mana beliau akan terus bekerja menerusi sidang video.

Presiden berhaluan kanan, yang menimbulkan kontroversi besar di Brazil kerana berulang kali mengabaikan tindakan pencegahan untuk membendung penyebaran virus, pertama kali diuji positif seminggu yang lalu.

Beliau mengakui pada Isnin lalu melalui temu bual dengan CNN bahawa beliau ‘tidak tahan dengan rutin tinggal di rumah’ dan mengatakan beliau menunggu ‘dengan cemas’ untuk diberikan kebenaran untuk meninggalkan rumah.

Beliau memberitahu rangkaian televisyen tersebut bahawa beliau tidak mempunyai sebarang gejala seperti demam atau masalah kesukaran bernafas sejak 6 Julai.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro telah disahkan positif dijangkiti COVID-19 buat kali kedua dan kini menjalani kuarantin. – AP

Dan beliau menambah bahawa beliau akan terus mengambil ubat anti malaria, hydroxychloroquine.

Ubat tersebut telah digunakan sebagai rawatan COVID-19 di kebanyakan negara – tetapi keberkesannya masih belum terbukti secara formal dan isu ini telah memecahbelahkan komuniti saintifik global.

Beliau akan menjalani ujian baharu ‘dalam beberapa hari akan datang’.

Sejak didiagnosis pada 7 Julai lalu, Bolsonaro telah menjalani pengasingan diri di kediaman berserta beberapa orang yang lain yang telah dijangkiti virus.

Brazil adalah negara kedua paling teruk terjejas di dunia akibat koronavirus selepas Amerika Syarikat, dengan lebih daripada 74,000 orang terkorban dan 1.9 juta kes jangkitan. – AFP