Bolt sedia buktikan diri

SYDNEY, 10 Okt – Bintang pelari pecut Usain Bolt dilihat bersedia untuk memulakan kerjayanya sebagai pemain bola profesional Jumaat ini dalam satu cabaran yang dikatakannya bakal menentukan masa depannya dalam sukan itu yang menjadi impian sejak zaman kanak-kanaknya.

Bolt berkata jurulatih Central Coast Mariners, Mike Mulvey menyatakan dia akan berada dalam kesebelasan utama bagi aksi persahabatan menentang Maacarthur South West United di Sydney. “Bagi saya, ia merupakan langkah yang bagus apabila jurulatih berpuas hati dengan kecergasan anda dan meletakkan anda dalam barisan utama. Ia selalunya langkah yang besar,” Bolt memberitahu media kelab Mariners, hari ini.

“Saya gembira mendapat peluang, turun di sana dan bermula serta melakukan yang terbaik kerana ia adalah perkara utama.”

Juara Olimpik lapan kali itu membuat kemunculan aksi bola sepak lewat Ogos dalam tempoh 20 minit sebagai pemain gantian di bahagian sayap kiri. Beliau hampir menjaringkan gol tetapi cepat letih. Bolt berkata dia telah memperbaiki kecergasannya sejak itu dan menjangka akan memerlukan lebih banyak masa di barisan hadapan.

“Pergerakan dan sentuhan saya lebih baik sekarang,” katanya. “Saya telah belajar bagaimana untuk menetapkan badan dan di mana untuk meletakkan bola.”

Liga-A yang bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan dengan segelintir peminat dan perkadaran TV yang berkurangan, dan dengan ketua-ketua bola sepak berharap ketibaan nama-nama besar seperti Bolt akan meningkatkan minat penduduk setempat.

Pemegang rekod 100 meter dunia itu berkata dia menjangka beberapa keadaan yang menggentarkan di atas padang tetapi teruja dengan peluang itu untuk membuktikan nilainya sebagai seorang pemain bola sepak.

“Ini adalah permainan yang besar. Saya rasa (perlawanan ini) akan menentukan jika kelab ini akan membuat keputusan mengenai apa yang hendak dilakukan dengan kerjaya saya. Bagi saya ia adalah perlawanan penting. Saya bersedia untuk membuktikan diri saya,” katanya. – AFP

Gambar fail pada 21 Ogos 2018 menunjukkan reaksi Usain Bolt ketika sidang media dengan Pasukan Central Coast Mariners di Newcastle, Australia. – AP