Bom ikan, dadah ancam ‘gipsi laut’ Myanmar

MYEIK ARCHIPELAGO, Myanmar – Sambil memegang lembing, seorang remaja lelaki terjun ke dalam laut biru untuk memburu ikan di perairan Myeik Archipelago, selatan Myanmar. Ia merupakan teknik tradisi etnik nomad laut yang dikenali sebagai Moken yang telah diamalkan lebih 100 tahun dalam kalangan 800 orang penduduk di kepulauan itu.

Namun, dia berasa kecewa selepas gagal menangkap seekor ikan pun di perairan itu selain menyaksikan batu karang kelabu yang telah musnah. Suatu ketika dahulu, laut itu merupakan tempat mereka mencari bekalan makanan dan bahan-bahan yang boleh dijadikan sebagai cenderamata seperti permata untuk dijual kepada pedagang.

Namun, segala-galanya telah musnah dek kerana kerakusan industri perikanan komersial tempatan yang tamak mengaut keuntungan daripada sumber hidupan marin.

Dentuman bom ikan menggunakan dinamit dan pukat untuk mengaut sumber marin yang dipercayai dilakukan oleh rakyat Thailand itu nyata menggusarkan nelayan Moken. Menurut Ketua Kampung Makyone Galet, Kar Shar, situasi itu memaksa golongan muda Moken mencari pekerjaan lain selepas ekosistem laut yang terjejas teruk.

“Ketika kami masih muda, seorang suami sudah memadai untuk menyara sebuah keluarga.

Nelayan Moken mencari ikan di perairan di Gugusan pulau Myeik. – AFP
Nelayan Moken mencari ikan di perairan di Gugusan pulau Myeik. – AFP
Nelayan Moken mengasing-asingkan sotong untuk dijual di pasar ikan perkampungan Nyaung Wee. – AFP
Nelayan Moken mengasing-asingkan sotong untuk dijual di pasar ikan perkampungan Nyaung Wee. – AFP
Hasil tangkapan ikan yang berada dalam jaring Moken di perairan cetek di perkampungan Makyone Galet. – AFP
Hasil tangkapan ikan yang berada dalam jaring Moken di perairan cetek di perkampungan Makyone Galet. – AFP

“Namun kini, seluruh ahli keluarga terpaksa keluar mencari sumber pendapatan dan kadangkala ia tidak mencukupi,” ujarnya.

Kebanyakan pelaut termasuk puak Karen, Burma dan Moken atau lebih dikenali sebagai gipsi laut tersepit dengan keadaan itu. Mereka begitu terdesak untuk mendapatkan mata pencarian selain hak bekerja yang terbatas walaupun pekerjaan itu berisiko tinggi dan haram.

Oleh sebab itu, sebahagian daripada nelayan tersebut terpaksa merantau ke bahagian terpencil pulau bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa tempatan. Sebahagian penyelam juga terpaksa mencari lubuk ikan sebelum melontar dinamit yang meletup dalam tempoh beberapa saat. Mereka bernafas menerusi tiub plastik nipis yang disangkutkan pada mesin pemampat.

Bagaimanapun, terdapat beberapa insiden yang menyebabkan sebahagian daripada mereka mengalami penyakit dekompresi, sekali gus menjadikan mereka tempang dan tidak boleh berjalan.

Lebih malang, ada yang gagal naik ke permukaan air selepas menyelam. Disebabkan pekerjaan itu berdepan dengan bahaya, seorang penyelam mampu meraih pendapatan kira-kira AS$100 satu malam berbanding purata gaji di pulau iaitu AS$3.

Disebabkan itu, sebilangan masyarakat Moken sanggup mengambil dadah supaya mereka dapat bekerja lebih kuat. Kongsi seorang penduduk tempatan, Win Myat, bapa saudaranya mati disebabkan ketagihan pil methamphetamine yang popular dengan nama yaba dalam kalangan mereka.

Thiha Thway, seorang nelayan Moken, semasa menangkap ikan di perairan Gugusan pulau Myeik, luar pantai Myanmar. – AFP
Thiha Thway, seorang nelayan Moken, semasa menangkap ikan di perairan Gugusan pulau Myeik, luar pantai Myanmar. – AFP

“Dia sanggup menghabiskan semua duitnya untuk membeli dadah.

“Jika dia tidak mempunyai dadah itu, badannya berasa lemah dan mudah menjadi baran. Dia banyak mendatangkan masalah kepada keluarga kami dan akhirnya dia meninggal dunia,” katanya.

Aktivis hak, Khin Maung mendedahkan, sebanyak 40 peratus etnik Moken di pulau itu membeli dadah sama ada yaba atau heroin di sempadan Myanmar. Golongan lelaki yang meninggal pada usia muda disebabkan oleh pengaruh dadah meninggalkan balu yang kemudian berkahwin dengan etnik tempatan seperti Karen dan Burma di darat.

Sebilangan pakar berpendapat, populasi Moken di Myanmar semakin berkurangan iaitu daripada 5,000 hingga 10,000 orang kepada hanya 2,000 hingga 3,000 orang termasuk nomad laut Moklen dan Urak Lawoi. Kemerosotan stok ikan kini bagai satu bencana kepada etnik Moken. Penasihat program marin untuk alam sekitar iaitu Fauna & Flora International, Robert Howard berkata, dianggarkan kira-kira 8,000 buah bot kecil dan besar merayau di sekitar kawasan laut Gugusan pulau Myeik.

Katanya, jika perkara ini berlanjutan, industri perikanan di Myanmar akan musnah. Kebanyakan etnik Moken berpendapat, perikanan tidak lagi dapat menampung kehidupan mereka. Rentetan itu, jumlah pelaut Moken semakin berkurangan.

Kini tiada lagi kelihatan kabang iaitu bot kayu tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan untuk tujuan menangkap ikan. Lebih separuh daripada penduduk asal Gugusan pulau Myeik yang mewarisi kemahiran memburu ikan daripada nenek moyang mereka beralih mencari pekerjaan lain. – AFP