Bom meletup luar stesen TV

ATHENS, Greece, 17 Dis – Bom berkekuatan tinggi meletup di luar stesen televisyen Greece swasta, Skai awal hari ini, mengakibatkan kerosakan teruk namun tiada mangsa cedera.

Polis berkata letupan berlaku pada jam 2:35 pagi, di luar ibu pejabat penyiaran di kawasan pesisir dekat Athens selepas laman web berita dan stesen TV lain mendapat amaran menerusi telefon hingga mencetuskan pihak berkuasa untuk mengosongkan bangunan.

Tiada ada yang mengaku bertanggungjawab. Organisasi bersenjata berhaluan kiri dan anarkis telah menyerang cawangan-cawangan media berita pada masa lalu.

“Ia adalah serangan ke atas demokrasi. Nasib baik kerosakan berlaku hanya pada material – lega tiada yang cedera – berikutan tindakan pantas yang diambil oleh pihak polis,” kata Menteri Ketenteraman Awam, Olga Gerovasili.

“Kami akan memperkukuhkan demokrasi kami. Insiden ini seharusnya memberikan pertimbangan kepada mereka yang membiarkan ruang terbuka kepada pengganasan dan fahaman fasis.

Polis pakar Greece mencari bukti selepas bom meletup di luar bangunan TV SKAI Greece di Athens pada 17 Disember. – AFP

Menurutnya, polis antipengganas sedang mengetuai siasatan itu. Berpuluh-puluh polis penyiasat memakai baju senyawa putih mengumpul bukti dari tempat kejadian, yang masih lagi ditutup kepada orang ramai.

Letupan tersebut mengakibatkan tingkap berkecai dan memusnahkan hadapan bangunan serta pejabat. Bangunan-bangunan apartmen berhampiran dan beberapa buah kenderaan turut musnah.

Bahan letupan telah dipasang pada pengadang besi di sebatang jalan pesisir yang sibuk di kawasan selatan Faliro, Athens.

Perdana Menteri Alexis Tsipras mengecam pengeboman itu sebagai ‘satu serangan pengecut dan kuasa jahat menentang demokrasi itu sendiri’.

Skai meneruskan penyiaran langsungnya, melaporkan dari luar bangunan, sementara penyiaran radio dari dalam bangunan juga beroperasi.

Jurnalis Nikos Filippidos tiba di tempat kerja selepas bangunan sebahagiannya dibuka semula.

“Pekerja masih bertugas seperti biasa untuk melaporkan berita kepada orang ramai. Kemusnahan akan diperbaiki, namun rasanya seperti keganasan berlaku di dalam rumah seseorang,” katanya.

Serangan hari ini itu serupa dengan kejadian pengeboman pada 22 Disember 2017 ke atas bangunan mahkamah di tengah Athens. Serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan berhaluan kiri digelar Kumpulan Popular Fighters. – AFP