Bom mortar ditemui di Kuala Krai

KUALA KRAI, 20 OGOS – Sebutir bom mortar lama yang masih aktif ditemukan di kawasan kebun Kampung Melati, Jalan Jirat, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintenden Suzaimi Mohammad berkata bom berkenaan ditemukan pada 7 petang semalam oleh seorang penduduk yang kemudian memaklumkan kepada adik iparnya yang tinggal di kawasan berhampiran sebelum menghubungi pihak polis.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, Unit Persenjataan (AMRA) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai  ke lokasi penemuan bom itu.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati jarak tempat bom itu dijumpai lebih kurang 50 meter dari jalan Kampung Jirat dan 10 meter dari kawasan rumah yang berhampiran serta 30 meter dari landasan kereta api,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suzaimi berkata pemeriksaan fizikal ke atas bom itu mendapati ia berukuran panjang 0.03 meter dengan lilitan besar berukuran kira-kira 9 milimeter dan masih aktif.

“Bom itu kemudiannya dimusnahkan di tempat ia ditemui pada jam 11.45 pagi tadi oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan,” katanya. – Bernama