Bom tangan ragut nyawa kanak-kanak di Kashmir

SRINAGAR, India, 11 Julai – Seorang budak lelaki terbunuh dan empat lagi cedera di Kashmir yang dikuasai oleh India hari ini dalam satu letupan bom tangan yang mereka temui dari tempat kejadian tembakan sehari sebelumnya, kata polis dan penduduk setempat.

Bom tangan itu meletup ketika salah seorang kanak-kanak mula bermain di kawasan kejiranan di daerah Shopian selatan, kata polis.

Dua pemberontak terbunuh dan dua askar cedera di kawasan yang sama kelmarin. Kekecohan itu mencetuskan pertempuran besar-besaran di mana seorang remaja lelaki meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 120 orang tercedera ketika tentera India melepaskan tembakan untuk menghalang penduduk daripada berarak ke tapak tersebut untuk membantu pemberontak yang terperangkap untuk melarikan diri. Pasukan tentera juga meletupkan dua buah rumah dengan bahan letupan.

Dua orang sepupu dan dua jirannya yang cedera juga dimasukkan ke hospital.

Pegawai mengatakan operasi tindakan pencegahan pemberontak menjadi lebih sukar di rantau yang dipertikaikan kerana peralihan dalam tingkah laku awam kerana penduduk kini memperlihatkan kemarahan terhadap pemerintahan India secara terang-terangan ketika tentera menyerang kampung-kampung dan bandar untuk memburu pemberontak.

“Kini apabila operasi selesai, pasukan itu meninggalkan kawasan itu secepat mungkin untuk mengelakkan konfrontasi” dengan penduduk tempatan, kadang-kadang meninggalkan bahan letupan yang tidak meletup, kata ketua polis S.P. Vaid. – AP