MAZAR-i-SHARIF, Afghanistan, 9 April – Sebutir bom tepi jalan membunuh sembilan polis dan mencederakan empat yang lain di luar tempat pemeriksaan mereka di utara Afghanistan, kata pegawai hari ini, dalam serangan terbaru sebelum musim pertempuran musim bunga.
Bom itu meletup semalam apabila polis memasuki kubu Taliban yang ditawan oleh mereka di daerah Chimtal di wilayah Balkh selepas satu operasi yang dipimpin oleh gabenor wilayah berpengaruh Atta Mohammad Noor.
Tidak ada kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab atas letupan setakat ini, namun ia berlaku di tengah keadaan bergolak di Afghanistan. Taliban tidak lama lagi dijangka mengumumkan serangan musim bunga tahunan mereka.
“Sembilan anggota polis tempatan terbunuh dan empat orang lagi mengalami kecederaan dalam letupan IED di daerah Chimtal,” beritahu jurucakap polis tempatan Shir Jan Durrani kepada AFP.
“Kesemua mangsa dibawa ke hospital di bandar Mazar-i-Sharif,” kata Durani.
Noor Mohammad Faiz, ketua hospital awam di Mazar-i-Sharif, mengesahkan mangsa yang cedera dan terbunuh itu.
Negara tersebut sedang bersedia untuk menghadapi musim pertempuran sengit pada musim bunga selepas kegagalan usaha kerajaan untuk melancarkan rundingan perdamaian dengan Taliban. – AFP