BRASÍLIA, 17 SEPT – Anggota bomba Brazil berperang memadam api yang marak di kawasan rizab alam semula jadi di daerah ibu kota Brasilia, di mana kawasan seluas 3,000 padang bola sepak telah musnah kelmarin.
Presiden Luiz Inacio Lula da Silva memanggil mesyuarat tergempar kabinetnya kerana kemarau terburuk Brazil dalam tujuh dekad telah mencetuskan kebakaran di hutan hujan Amazon dan tanah lembap Pantanal, mengeluarkan asap tebal ke bandar-bandar utama termasuk Rio de Janeiro.
Ibu kota Brasilia adalah yang terbaharu dilanda, bertempur dengan kebakaran terburuknya tahun ini apabila penduduk terpaksa menyiram rumah dengan baldi air untuk melembapkan kediaman mereka yang terancam.
Tiga kebakaran berasingan berlaku pada hujung minggu di Taman Negara Brasilia, kata pegawai, memusnahkan kira-kira 1,200 hektar menjelang Isnin ketika berpuluh-puluh anggota bomba dengan pesawat dan helikopter berjuang untuk mengekang serangan itu.
“Api mula menyambar dengan laju dan pada ketinggian kira-kira enam meter dan masyarakat mula berpindah,” kata jururawat Simone Costa, 51, kepada AFP ketika dia memeriksa kerosakan akibat kebakaran berhampiran rumah mereka di Brasilia.
“Kami menyediakan baldi air untuk mengawal kebakaran supaya ia tidak bergerak lebih dekat,” katanya.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa keadaan mungkin menjadi lebih buruk dalam keadaan sangat kering selepas 140 hari tanpa hujan di Brasilia.
Jumlah kebakaran di Brazil setakat bulan ini (57,312) telah melebihi jumlah keseluruhan untuk September 2023, menurut data satelit dari institut penyelidikan INPE.
Beberapa empangan Brazil mencatat paras air yang rendah dalam sejarah dan bandar seperti Rio turut terjejas oleh sekatan air.
Walaupun pakar menyatakan kebakaran didorong oleh kemarau dan perubahan iklim, pihak berkuasa berkata kebanyakan kebakaran itu dilakukan secara haram. – AFP