Bomba berjaya kawal kebakaran dekat Athens

ATHENS, 12 OGOS – Anggota bomba Greece hari ini berjaya mengawal kebakaran hutan besar yang mengancam beberapa buah kediaman di pinggir Athens, kata para pegawai.

Kira-kira dua buah rumah terbakar namun tiada laporan kecederaan ketika polis bertindak cepat mengosongkan kawasan dan menyekat jalan-jalan raya.

“Dua buah rumah terbakar namun tiada sesiapa berada di dalamnya…buat masa ini tiada kawasan kediaman dalam bahaya,” kata timbalan gabenor serantau Athens, Petros Filippou memberitahu para wartawan.

Pihak berkuasa perlindungan am berkata kebakaran bermula sekitar tiga pagi di timur sub bandar Peania, di kaki bukit hutan pokok pain Gunung Ymittos.

“Ia adalah kebakaran besar dengan api menjulang sekitar 20 meter tinggi, berhampiran rumah,” kata ketua perlindungan am, Nikos Hardalias kepada Antenna TV.

Lebih 130 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran sebelum ia merebak ke kawasan yang didiami.

Pesawat udara bomba turut menyertai operasi itu.

Greece telah dilanda oleh siri kebakaran sejak hujung minggu di tengah-tengah angin kencang dan suhu 40 darjah Celsius.

Kelmarin, kebakaran di pulau kecil Elafonissos di rantau Peloponnese berjaya dikawal selepas dua hari bergelut. – AFP

Jentera bomba dilihat memadam kebakaran di Gunung Hymittos di sub bandar Peania dekat Athens pada 12 Ogos. – AFP