Bomba Sarawak akan terima 10 jentera baharu

SIBU, 29 JULAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan menerima 10 jentera bomba baharu untuk kegunaan operasinya di seluruh negeri, kata Pengarahnya Khirudin Drahman.

Beliau berkata lima daripadanya sedang dihantar ke sini dari Semenanjung manakala lima lagi akan diterima menjelang hujung tahun ini.

“Kami berharap untuk menerima lebih banyak jentera, tetapi bekalan tambahan harus mempertimbangkan keupayaan kewangan kerajaan,” katanya sambil menambah Rapid Intervention Motorcycle Team (RIM) jabatan itu juga akan menerima sembilan motosikal.

“Justeru, kami harus berfikir di luar kotak bagi memanfaatkan apa yang diperuntukkan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan prapenyerahan di Balai Bomba Sibu Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 34 balai di Sarawak walaupun berdasarkan analisis dan penilaian risiko kebakaran, seharusnya terdapat 59 balai di negeri ini.

“Oleh kerana kos operasi yang tinggi di balai, dengan termurah sebanyak RM2 juta setahun untuk balai Kategori D, kami memilih untuk menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti, pasukan bomba bantuan dan sukarela,” katanya dan menambah pendekatan itu diambil daripada negara seperti Australia dan New Zealand. – Bernama