Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bomba selamat anak kerbau jatuh longkang

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Seekor anak kerbau yang terjatuh ke dalam longkang di kawasan Padang Sekolah Rendah Pengkalan Batu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat pada jam 7:23 pagi ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, sebaik menerima laporan mengenai insiden tersebut, empat anggota bomba dari Balai Bomba Pengkalan Batu yang diketuai oleh ABK 1398 Haji Rosli bin Haji Zaini telah dikerahkan ke tempat kejadian.

    Apabila tiba di lokasi, anggota bomba melihat seekor anak kerbau di dalam longkang, manakala seekor lagi kerbau dewasa hanya memerhatikan dari jauh ketika anggota bomba berusaha mengeluarkan dan menyelamatkan anak kerbau tersebut menggunakan tali.

    Setelah berjaya diselamatkan, anak kerbau tersebut kembali berlari ke arah kerbau dewasa berkenaan.

    Dalam pada itu, JBP turut mengingatkan orang ramai agar haiwan ternakan hendaklah dalam keadaan terjaga dan terkawal bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

    Selain itu, orang ramai juga hendaklah memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup ketika tidak berada di rumah bagi mengelakkan binatang-binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet memasuki rumah dan jangan sesekali menghampiri atau berhasrat untuk mengancam binatang berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Anggota bomba ketika cuba menyelamatkan anak kerbau yang terjatuh ke dalam longkang.– Gambar serahan JBP
    Anak kerbau yang berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat, kelmarin.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda