Bomba tubuh Mocsar di Taman Negara Mulu

KUCHING, 12 JULAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melancarkan penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) di Taman Negara Mulu di sini sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi insiden kecemasan di taman negara itu.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman @Hussaini berkata insiden seorang pelancong asing warga Belanda dan pemandu pelancong yang lemas di Gua Rusa, Taman Negara Mulu serta kebakaran hutan di Batu Bungan tahun lalu memberikan isyarat kepada keperluan menubuhkan pasukan seumpama itu.

“Idea penubuhan pasukan itu bermula pada 2017 selepas satu siri latihan menyelamat selama seminggu di taman negara itu yang turut melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM),” katanya dalam satu kenyataan yang diterima di sini. – Bernama