Bombardier jual 9 pesawat CRJ900

MONTRÉAL, 8 Feb – Bombardier Commercial Aircraft hari ini mengumumkan bahawa subsidiari Chorus Aviation Inc. (Chorus Aviation) telah menyelesaikan perjanjian pembelian untuk sembilan pesawat CRJ900. Pesawat ini akan dikendalikan oleh Jazz Aviation LP, subsidiari Chorus Aviation Inc., di bawah jenama Air Canada Express, menjadikannya pengendali Kanada yang pertama bagi kabin ATMOSPHÈRE baharu untuk pesawat serantau Siri CRJ.

Berdasarkan penyenaraian harga pesawat CRJ900, tempahan itu dianggarkan bernilai sebanyak AS$437 juta.

“Kami berbesar hati kerana Chorus dan Jazz telah memilih produk Bombardier untuk perkembangan dan pembaharuan kumpulan pesawat mereka. Ini menguatkan lagi keyakinan mereka terhadap nilai yang Siri CRJ berikan kepada syarikat penerbangan,” kata Fred Cromer, Presiden, Bombardier Commercial Aircraft.

“Pesawat CRJ900 secara idealnya sesuai untuk perkembangan pasaran dan diiktiraf kerana prestasinya yang terbaik, bersifat ekonomi dan keselesaan penumpang.”

“Penambahan pesawat CRJ900 baharu ini adalah sebahagian daripada pemodenan berterusan kumpulan pesawat Jazz kami,” kata Joseph Randell, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Chorus.

“Pesawat ini memberikan kos pengendalian unit antara yang paling rendah dalam kalangan sebarang pesawat serantau, membolehkan kami bersaing dengan lebih efektif sementara menyelesaikan perubahan permintaan pasaran.”

Jazz, di bawah jenama Air Canada Express, akan mengendalikan CRJ900 dalam konfigurasi kabin dua-kelas dengan 76 tempat duduk. Syarikat penerbangan tersebut bercadang menggunakan pesawat pertama mereka dengan peningkatan terkini pada pesawat serantau Siri CRJ – kabin ATMOSPHÈRE pada separuh pertama tahun 2020. – Bernama