Bombardier jual program jet

MONTREAL, 26 JUN – Bombardier Inc. dari Kanada hari ini mengumumkan untuk menjual program jet serantaunya kepada Mitsubishi Heavy Industries Ltd., lapor agensi berita Xinhua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bombardier Alain Bellemare berkata perjanjian yang ditandatangani dengan Mitsubishi itu adalah penyelesaian transformasi perniagaan syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di Montreal.  Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan pada separuh pertama tahun depan, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan dan syarat pengambilalihan.

Di bawah perjanjian itu, Mitsubishi akan membayar AS$550 juta dan mengambil alih hutang AS$200 juta di samping liabiliti lain berkaitan Canadair Regional Jet (CRJ).

Perjanjian itu menetapkan pengilang Jepun mengambil alih penyelenggaraan, sokongan, pengubahsuaian, pemasaran dan aktiviti jualan jet, termasuk fasiliti perkhidmatan dan sokongan. – Bernama