Bomoh dakwa ‘air jampi’ hapuskan COVID-19, maut akibat virus

COLOMBO, 23 SEPT – Bomoh terkenal yang mendakwa boleh mengakhiri penularan COVID-19 di Sri Lanka menggunakan air jampi, telah meninggal dunia akibat virus itu, kata keluarganya.

Eliyantha White, 48, yang merawat ahli sukan dan ahli politik terkenal termasuk Perdana Menteri Sri Lanka, November lalu mendakwa mampu menamatkan pandemik di negara itu dan India dengan menuang beberapa bekas ‘air jampi’ dianggap suci ke dalam sungai. Menteri Kesihatan Sri Lanka, Pavithra Wanniarachchi, menyokong rawatan menggunakan ‘air jampi’ itu, namun beliau sendiri dijangkiti COVID-19 dua bulan kemudian dan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau kemudian disingkirkan daripada jawatannya, namun masih kekal dalam Kabinet. White menarik perhatian antarabangsa pada 2010 apabila pemain kriket legenda India, Sachin Tendulkar, mengucapkan terima kasih kepadanya secara terbuka kerana merawat kecederaan lututnya.

Dalam temu bual pada 2010 dengan AFP, White mendakwa memiliki ‘kuasa istimewa’ sejak berusia 12 tahun.

Sejak itu, beliau sudah merawat beberapa pemain kriket utama India, termasuk Gautam Gambhir dan Ashish Nehra.

Keluarga White memaklumkan, bomoh itu enggan disuntik vaksin COVID-19.
Mayatnya disemadikan di perkuburan utama Colombo hari ini, dengan mematuhi peraturan kuarantin. – AFP

Seorang pekerja krematorium memakai PPE berdekatan keranda Eliyantha White, bomoh tempatan yang mendakwa punya kuasa ajaib yang mampu menamatkan pandemik koronavirus namun maut akibat virus itu, di krematorium di Colombo, 23 Sept. – AFP