Boneka Hitam ‘santet’ dijumpai

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKTOBER 2011 – Menggemparkan apabila wartawan Media Permata menjumpai satu boneka hitam, berbentuk manusia dengan berlumuran darah, sebesar janin seperti selepas dibakar, ditusuk dengan 39 batang jarum, diletakkan di atas bekas putih segi empat tepat tersadai di kaki tiang lampu isyarat di sebuah persimpangan di Mukim Sengkurong.

Sebaik menerima maklumat daripada orang ramai, wartawan Media Permata segera pergi ke tempat dimaksudkan dan terpaksa berlegar seketika mencari tempat patung itu diletakkan.

Bagaimanapun, tatkala menoleh ke satu arah di pangkal tiang lampu isyarat di tengah jalan raya, wartawan Media Permata yang berada di situ tergamam melihat terdapat sebuah bekas plastik putih di dalamnya mempunyai satu boneka hitam yang agak menyeramkan itu.

Menurut seorang pakar tempatan dalam bidang berkaitan gangguan makhluk halus, Dr Haji Mohammad Adi Zaky Haji Matasim, bahawa boneka itu merupakan barang sihir sejenis ‘santet’ yang bertujuan bagi menyakiti orang yang disasarkan sama ada sekadar bisa-bisa di badan ataupun sakit seperti benar-benar ditusuk benda tajam di 39 tempat seperti mana ditusuk kepada boneka itu.