BIRMINGHAM, 5 OGOS – Jaguh sukan angkat berat Malaysia, Bonnie Bunyau Gustin, berjaya menepati sasaran untuk meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Pusat Pameran Nasional (NEC) kelmarin.
Kejayaan jaguh dunia itu dalam kategori lightweight bawah 72 kilogram sekaligus menyaksikan Bonnie menyumbang pingat emas keempat kontinjen negara pada Sukan Komanwel tahun ini.
Bonnie juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo tahun lepas melakukan angkatan 220 kilogram (kg) yang juga rekod temasya. Beliau merupakan atlet berusia 23 tahun yang mencipta sejarah apabila menjadi muncul atlet pertama Malaysia yang memenangi acara tersebut di temasya sukan berkenaan. Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah England, Mark Swan, dengan angkatan 202kg manakala gangsa milik Nnamdi Innocent dari Nigeria dengan angkatan 190kg.
Pencapaian Bonnie itu juga mengubat kekecewaannya pada penampilan sulung di Gold Coast, Australia pada 2018, apabila dia terlepas pingat setelah menduduki tangga keempat. Bonnie mencipta sejarah apabila muncul juara dunia dua kali iaitu pada 2019 di Nur Sultan, Kazakhstan dan 2021 di Georgia.
Ketika ditemui pemberita, Bonnie mengakui beliau agak bimbang tidak dapat menepati sasaran yang diletakkan ke atas beliau bagi menyumbangkan pingat emas kepada negara.
“Sebelum datang sini perasaan saya 50-50. Jadi, sebelum pertandingan hari ini, saya telefon ibu bapa dan mereka berpesan supaya saya kosongkan fikiran dan buat yang terbaik. Saya bersyukur dapat menghadiahkan pingat emas kepada negara,” katanya.
Bonnie yang berasal dari Sarawak adalah pemegang rekod dunia dalam kategori sama dengan angkatan 230kg.
Bonnie turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan meraih emas di temasya Sukan Komanwel, menambah koleksi gelarannya di peringkat dunia, selepas mengungguli kejuaraan di Sukan Paralimpik dan Kejohanan Dunia. Jaguh dunia itu, bagaimanapun berkata setakat ini beliau belum ‘merasai’ gelaran pada Sukan Para ASEAN. – Bernama