Borang persetujuan vaksin pelajar diagihkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Sebagai persediaan bagi pelaksanaan vaksinasi dalam kalangan remaja berumur 12 sehingga 17 tahun, borang persetujuan vaksinasi (consent form) telah mula diagihkan kepada ibu bapa dan penjaga melalui Kementerian Pendidikan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memohon ibu bapa atau penjaga untuk melengkapkan borang tersebut dan membawanya semasa sesi vaksinasi anak-anak mereka nanti.

“Ini diharapkan akan dapat membantu kelancaran pemberian vaksinasi COVID-19 apabila program tersebut dimulakan dalam masa terdekat ini,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, ujar beliau lagi, bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang tidak mengikuti sistem persekolahan rasmi pula, sesi vaksinasi khas akan diaturkan pada penghujung pelaksanaan program vaksinasi pelajar sekolah di mana kaedah pelaksanaannya akan diumumkan kemudian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani