Boris Johnson menang besar

LONDON, 13 DIS – Perdana Menteri Boris Johnson pada hari ini mengalu-alu satu ‘gempa bumi’ politik di Britain selepas memperoleh kemenangan pilihan raya yang membuka laluan kepada negara untuk meninggalkan EU pada bulan depan selepas kebuntuan bertahun lamanya.

Dengan semua keputusan diumumkan untuk 650 kerusi parlimen, parti Konservatif pimpinan Johnson telah menang 364 kerusi, majoriti terbesar sejak era Margaret Thatcher pada 1980.

Mengecam pertengkaran politik selama lebih tiga tahun berhubung Brexit, Johnson berjanji dalam ucapan kemenangannya hari ini untuk ‘menamatkan segala yang karut’ dan ‘menyelesai Brexit pada 31 Januari, tanpa sekiranya, tanpa tetapi.’

Sebaliknya, parti pembangkang Buruh mencatat prestasi pilihan raya paling teruk sejak sebelum Perang Dunia Kedua, memaksa pemimpin Jeremy Corbyn mengumumkan rancangan untuk meletak jawatan.

Dengan majoriti ahli parlimen yang besar, Johnson berupaya membentangkan perjanjian yang dicapainya dengan Brussels di parlimen tepat pada masanya untuk memenuhi tarikh akhir pada 31 Januari.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson bercakap ketika acara kempen untuk meraikan keputusan pilihan raya umum di tengah London, kelmarin. – AFP

Mengesahkan perjanjian akan memformalkan berakhirnya integrasi EU-UK selama lima dekad, walaupun kedua-dua pihak masih perlu mencapai perjanjian perdagangan dan keselamatan baharu.

Presiden Majlis EU, Charles Michel berkata blok itu dijangka mengadakan rundingan namun akan melakukan yang terbaik untuk melindungi dasar utama Eropah.

“Dasar saya amat jelas: kami sudah bersedia. Kami telah memutuskan dasar utama kami,” kata Michel ketika beliau tiba pada sidang kemuncak EU di mana pemimpin akan membincang kesan selepas pengundian UK.

Keputusan pilihan raya semalam, yang ketiga dalam lima tahun, menandakan kemenangan peribadi untuk Johnson, bekas datuk bandar London dan menteri luar yang membantu mengetuai kempen kemenangan Brexit dalam referendum EU 2016.

Johnson kini mempunyai lima tahun untuk mentadbir negara sehingga beliau terpaksa mengadakan satu lagi pilihan raya. – AFP