Boris Johnson PM Britain seterusnya

LONDON, 23 JULAI – Boris Johnson memenangi persaingan untuk menjadi perdana menteri Britain yang seterusnya hari ini, sekali gus berdepan konfrontasi Brexit dengan Brussels dan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) serta ketegangan diplomatik dengan Iran.

Bekas datuk bandar London itu dengan mudah menewaskan saingannya, Setiausaha Luar Negara, Jeremy Hunt, dalam undian Parti Konservatif dengan 92,153 undi.

Johnson dijangka menggantikan Theresa May sebagai perdana menteri esok selepas pendahulunya itu menghadapkan peletakan jawatan secara rasmi kepada Ratu Elizabeth II.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump adalah pemimpin dunia pertama menyampaikan ucapan tahniah kepada Johnson dengan berkata, “Dia pasti menjadi hebat!”

Kemenangan itu adalah kejayaan seorang pemimpin yang selalu menginginkan jawatan paling tinggi tetapi Johnson, yang terkenal dengan lelucon dan gertaknya mengambil alih ketika pergolakan politik yang besar berlaku di Britain. Tiga tahun selepas referendum untuk meninggalkan EU, Britain kekal sebagai ahli dalam pertelingkahan berterusan dalam parlimen yang berpecah-belah dan gagal mencari penyelesaian bagaimana untuk melangkah ke hadapan. Johnson mengetuai kempen Brexit 2016 dan selepas May dua kali menangguhkan penarikan Britain dari Blok Eropah, bekas datuk bandar itu menegaskan tarikh akhir terkini perceraian itu harus dikekalkan dengan atau tanpa perjanjian bersama EU.

Johnson berjalan menuju pentas untuk menyampaikan ucapan selepas menang pilihan raya, kelmarin. – AFP

“Kami akan melakukan Brexit pada 31 Oktober,” katanya selepas memenangi 66 peratus daripada hampir 160,000 undi.

Bagaimanapun, Brussels berkata bahawa ia tidak akan merundingkan semula kesepakatan yang dilancarkan May untuk mengakhiri perkongsian selama 46 tahun walaupun selepas ahli Parlimen EU menolaknya tiga kali.

Perunding EU, Michel Barnier berkata beliau mahu bekerjasama dengan Johnson ‘untuk memudahkan pengesahan perjanjian penarikan diri dan memuktamadkan Brexit’ dengan teratur tetapi bersedia untuk ‘mengolah semula’ perisytiharan hubungan masa depan UK-EU.

Walaupun Brussels tidak menyukai perjanjian May, Johnson dan rakan-rakan dari Parti Konservatif juga berdepan tentangan ketara daripada ahli Parlimen EU jika bercerai tanpa perjanjian.

Beberapa menteri berkata mereka tidak akan berkhidmat di bawah Johnson sambil memberi amaran bahawa hubungan dengan rakan dagangan terdekat Britain yang terputus tanpa sebarang pengaturan baharu disifatkan amat tidak bertanggungjawab. – AFP