Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bos Barca elak isu masa depan

    BARCELONA, 26 Jan – Pengurus gergasi Sepanyol Barcelona, Luis Enrique (gambar) sekali lagi mengelak daripada menjawab soalan mengenai masa depannya, di tengah-tengah timbulnya spekulasi bahawa dia bakal meninggalkan kelab Sepanyol itu pada penghujung musim ini.

    Enrique telah merangkul lapan kejuaraan dalam tempoh dua tahun setengah bersama kelab itu, namun kontraknya bakal tamat pada hujung musim ini dengan Barca masih belum menawarkan kontrak lanjutan, mungkin disebabkan lebih menumpukan usaha untuk mengesahkan kontrak baru pemain bintang Lionel Messi dan kapten Andres Iniesta.

    Akhbar harian Barcelona, Sport melaporkan bahawa pembantu Enrique, Juan Carlos Unzue menjadi pilihan Enrique untuk menggantikan tempatnya selain daripada pengendali Sevilla, Jorge Sampaoli yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou itu.

    “Saya tiada apa yang hendak dikatakan,” kata Enrique ketika ditanya mengenai masa depannya dan juga sama ada Unzue mampu untuk menggantikan tempatnya.

    Namun, Enrique menegaskan hubungannya bersama skuadnya yang sudah dibimbing selama tiga tahun ini tetap berada dalam keadaan yang baik.

    “Ini adalah tahun ketiga saya di sini dan saya mahu ada hasrat serta semangat yang sama iaitu untuk terus mencipta sejarah dan merangkul trofi.

    “Saya melihat dahaga untuk kejayaan yang sama dan malah saya boleh katakan ia semakin kuat dari musim ke musim.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda