ZAGREB, 25 April – Bekas bos Dinamo Zagreb yang penuh kontroversi, Zdravko Mamic akan berdepan dengan perbicaraan rasuah bernilai berjuta-juta euro Khamis ini, kes genting bagi bola sepak Croatia yang ketika ini sudah dibebani dengan samseng dan infrastruktur yang lemah.
Mamic, dianggap tokoh paling berkuasa dalam sukan di negara itu, telah didakwa menyalahgunakan kuasa dan rasuah antara tahun 2008 hingga 2012.
Tahun lepas pejabat anti-rasuah Croatia (USKOK) juga mendakwa saudaranya kandungnya dan juga bekas jurulatih Dinamo Zagreb, Zoran Mamic, bekas pengarah kelab Damir Vrbanovic dan seorang pemeriksa cukai.
Dakwaan yang dikatakan menyebabkan juara Croatia itu kerugian sehingga 116 juta kunas (15.6 juta euros, AS16.7 juta) dan bajet kerajaan sebanyak 12 juta kunas.
Sebahagian besar wang, lebih 12 juta euro, telah diambil secara haram oleh adik-beradik Mamic, menurut dakwaan itu.
Mamic meletak jawatan sebagai presiden eksekutif kelab tersebut pada Februari tahun lepas, dua bulan sebelum dia didakwa.
Menurut media setempat, dua bintang antarabangsa, pemain tengah Real Madrid, Luka Modric dan pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren, akan hadir sebagai saksi dalam perbicaraan itu. – AFP