Bos City alu-alukan siasatan UEFA

WATFORD, 5 Dis – Pengurus pasukan Manchester City, Pep Guardiola berharap kesimpulan segera terhadap penyiasatan UEFA mengenai dakwaan pelanggaran Permainan Kewangan Adil (FFP) ke atas juara Liga Perdana itu akan mendiamkan spekulasi yang menyelubungi kes tersebut.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin berkata selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif bagi badan induk bola sepak Eropah semalam bahawa badan bebas sedang meneliti dakwaan yang dibuat menerusi majalah Jerman, Der Spiegel sebagai sebahagian dari kempen Football Leaks mereka, akan memberikan jawapan ‘tidak lama lagi’.

Laporan semalam mendakwa City mungkin akan digantung dari Liga Juara-Juara musim depan jika mereka didapati bersalah.

Guardiola menegaskan cerita itu tidak menjejaskan pemain-pemainnya, ketika mereka melebarkan jurang lima mata di persada Liga Perdana awal pagi tadi dengan kemenangan 2-1 di Watford.

Bagaimanapun, jurulatih Catalan itu berharap untuk menamatkan apa yang digambarkannya sebagai ‘suara’ yang memenuhi ruang perniagaan kelab.

“Jika UEFA menemui sesuatu, kelab akan membuat kenyataan dan saya mahu melakukannya kerana kami akan tahu setepatnya dan menyelesaikannya,” kata Guardiola.

“Kami tahu jika kami melakukan sesuatu yang salah dan jika kami tidak melakukan kesalahan, orang ramai akan berhenti bercakap mengenainya.”

Ia mendakwa City melanggar peraturan–peraturan FFP UEFA, yang direka untuk mengehadkan kerugian yang dihasilkan kelab dan jumlah perbelanjaan ke atas pertukaran dan gaji pemain, dengan membenarkan penaja mereka yang berpangkalan di Abu Dhabi untuk menyuntik wang tunai dan mengundurkan kontrak tajaan.

Seorang ahli keluarga dari pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mansour, yang memiliki City sejak 2008, menukar nasib kelab dengan melabur berbilion pound terhadap pemain dan kemudahan kelab tersebut. – AFP

Antara reaksi Guardiola pada perlawanan di antara Watford dan Manchester City di Vicarage Road. – AP