LAGOS, 21 Feb – Presiden FIFA, Gianni Infantino menegaskan bahawa Rusia bersedia unutk menghoskan Piala Dunia tahun ini, meskipun adanya beberapa laporan bahawa beberapa buah stadium gagal menepati tarikh akhir.
Rusia akan menghoskan Piala Dunia bermula 14 Jun hingga 15 Julai di seluruh 11 buah bandar.
“Rusia sudah 99 peratus bersedia menghoskan Piala Dunia, mereka kini melaksanakan sentuhan terakhir dan semua orang yang akan pergi ke Rusia akan menikmati detik yang hebat,” kata Infantino pada satu sidang media selepas mesyuarat FIFA di Lagos.
“Semua persiapan sudah dibuat untuk menjadikannya pengalaman yang menakjubkan.”
Bos FIFA itu berkata tumpuan mesyuarat di Lagos adalah cuba meningkatkan kejohanan-kejohanan peringkat usia, sementara itu dia memuji Nigeria kerana kejayaan mereka menghoskan kejohanan-kejohanan seperti itu. – AFP