SARANSK, 26 Jun – Jurulatih Iran, Carlos Queiroz berkata kapten Portugal, Cristiano Ronaldo seharusnya dilayangkan kad merah kerana menyiku dalam perlawanan peringkat kumpulan yang berkesudahan seri 1-1 itu.
Ronaldo telah dilayangkan kad kuning pada minit ke-83 dalam pertembungan Kumpulan B kerana mengasari pertahanan Iran, Morteza Pouraliganji, dengan insiden itu diteliti oleh pengadil di tepi garisan.
“Saya tidak mahu bercakap banyak, ia adalah mengenai negara saya dan seorang pemain. Saya tahu ia akan menjadi perang menentang saya,” kata Queiroz, yang pernah melatih negaranya sendiri, Portugal, pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

“Tiada masalah, saya sudah terbiasa seorang lelaki menghadapi sebuah negara, dan sebuah negara menentang seorang lelaki sejak Afrika Selatan. Saya tidak mempunyai masalah dengannya.
“Tetapi hakikatnya adalah anda menghentikan perlawanan kerana VAR, terdapatnya insiden menyiku. Kesalahan itu adalah kad merah dalam peraturan. Dalam peraturan tidak ada menyatakan jika (Lionel) Messi atau Ronaldo…”
“Ia adalah kad merah. Ia bukan mengenai pengadil. Ia mengenai tingkah laku, keberanian dan karakter, keputusan perlu dibuat dengan jelas untuk semua orang. – AFP

































