Bos mafia terlepas dari penjara

MONTEVIDEO, 25 JUN – Bos mafia Itali Rocco Morabito semalam mengetuai satu percubaan melarikan diri dari penjara di tengah ibu negara Uruguay, mencetuskan usaha memburu besar-besaran dan menimbulkan kemarahan kerajaan Itali, yang sedang menunggu ekstradisinya.

Morabito dan tiga banduan lain ‘melepaskan diri menerusi satu lubang di bumbung’ pusat tahanan polis di pusat bandar Montevideo pada lewat Ahad, sebelum memecah masuk sebuah pangsapuri dan keluar ke jalan raya, kata kementerian dalam negeri Uruguay.

Dalam satu kenyataan, ia berkata Morabito, 52 tahun, tokoh ‘Ndrangheta’ yang ditangkap di Uruguay pada 2017 selepas melarikan diri berdekad lamanya, sedang menunggu untuk diekstradisi kerana penyeludupan dadah antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini memberikan reaksi marah terhadap berita ‘serius’ itu.

“Saya membuat dua komitmen, pertama untuk mendedahkan bagaimana dia melepaskan diri, meminta penjelasan segera daripada kerajaan Montevideo. Kemudian kami akan terus memburu Morabito, di mana saja dia berada,” kata Salvini.

Morabito, digelar ‘raja kokain’, adalah salah seorang lelaki paling dikehendaki di Itali apabila dia ditahan di hotel Montevideo pada September 2017. – AFP

Orang lalu di depan ‘Carcel Central de Montevideo’ di Montevideo, Uruguay pada 24 Jun. Bos jenayah terancang, Rocco Morabito, melepaskan diri sebelum subuh kelmarin dari penjara ini, di mana dia sedang menunggu diekstradisi ke Itali. – AP