MANCHESTER, 14 Ogos – Romelu Lukaku boleh menghadapi musim pertamanya di Manchester United tanpa sebarang tekanan selepas menjaringkan dua gol dalam penampilan pertama Liga Perdana menentang West Ham United, menurut pengurus Jose Mourinho.
Lukaku menjaringkan dua gol pertamanya untuk United ketika skuad Mourinho menang 4-0 di gelanggang sendiri dalam perlawanan pembukaan mereka semalam.
“Dia telah menjaringkan gol dalam Piala Super, hari ini (semalam) dia menjaringkan gol lagi. Dia bermain dengan sangat baik, bekerja keras. Dia menyukai pasukan, pasukan pun menyukainya,” kata Mourinho.
“Bagi mana-mana penyerang, mereka boleh bermain dengan sangat luar biasa, tetapi jika mereka tidak menjaringkan gol, tekanan ke atas mereka.
“Bagus untuknya, bagi untuk Wayne Rooney (Everton), bagus untuk (pemain Arsenal, Alexandre) Lacazette, bagus untuk (pemain Chelsea) Morata, kesemua pemain yang tiba di kelab-kelab baru dan menjaringkan gol di hari pertama.

“Ia selalunya menjadi oksigen, kegembiraan dan keyakinan untuk mereka. Romelu sangat mengenali saya. Dia tahu bahawa kadangkala penyerang bermain dengan sangat baik untuk pasukan tanpa menjaringkan gol.
“Dia tahu itu dari saya, tiada tekanan langsung. Tetapi hari ini (semalam) adalah bagus. Sangat berkesan, terutamanya gol pertama.”
Bagaimanapun, Mourinho pantas untuk merujuk kembali kemenangan 3-1 di Bournemouth dalam perlawanan pembukaan mereka setahun yang lalu, United akhirnya menamatkan musim di tangga keenam.
“Musim lepas kami juga berada di persada liga selepas perlawanan pertama dan akhirnya menamatkan di tangga keenam, jadi ini masih belum bermakna apa-apa,” katanya, yang mana pasukannya akan berkunjung ke Swansea City Sabtu ini.
“Saya mahu menjelaskan perkara ini. Ini bermakna kami bermain dengan sangat baik dan keyakinan sangat tinggi, kini cabaran kami adalah untuk mengekalkan tahap keyakinan itu.” – AFP