FRANKFURT, 1 Feb – Pengilang bahagian kereta Jerman, Bosch berkata hari ini akan membayar sejumlah AS$327.5 juta dalam pampasan kepada pembeli-pembeli AS dan pengedar kereta diesel Volkswagen (VW) yang terjejas dengan skandal ‘dieselgate’.
Bosch membuat beberapa elemen perisian canggih, digelar “defeat devices”, yang VW pasang dalam 11 juta enjin diesel seluruh dunia untuk mengurangkan pencemaran ketika ujian dijalankan.
Bosch berkata dalam satu keterangan bahawa satu perjanjian pampasan “akan menyelesaikan tuntutan-tuntutan para pelanggan dan pengedar kereta terpakai terhadap Robert Bosch GmbH, sekutunya, para kakitangan dan pengarah-pengarahnya” di Amerika Syarikat.
Para pelanggan AS yang membeli kereta dari Volkswagen dan Audi dengan enjin 2.0 liter diesel di antara tahun 2009 dan 2015, dan juga 3.0 liter VW, Audi dan Porsche yang dikeluarkan di antara 2009 dan 2016 akan menerima sejumlah pampasan.
Perjanjian itu bagaimanapun perlu diluluskan oleh hakim federal AS di California, dengan satu sesi pendengaran dijadualkan pada 14 Februari.
Sementara bersetuju untuk membayar kepada pembeli-pembeli VW yang telah mendakwa firma itu membantu menyembunyikan kewujudan “defeat devices”, Bosch berkata “tidak mengakui fakta-fakta seperti yang didakwa oleh pihak plaintif serta Bosch tidak menerima sebarang liabiliti.”
Dengan perjanjian yang dicadangkan itu hanya menjejaskan tuntutan undang-undang sivil, Bosch menambah bahawa ia “akan terus mempertahankan kepentingannya dalam semua prosiding undang-undang jenayah dan sivil dan akan bekerjasama secara menyeluruh bersama pihak berkuasa penyiasatan di Jerman dan negara-negara lain.”
“Kami berharap untuk menumpukan perhatian kami dan sumber-sumber kami terhadap peralihan dalam pergerakan dan dalam bahagian aktiviti lain,” ketua eksekutif Volkmar Denner berkata dalam satu keterangan. – AFP