FRANKFURT, 14 JULAI – Kumpulan jurutera Jerman, Bosch berkata kelmarin ia akan melaburkan 3 bilion euro (AS$3 bi-lion) ke dalam pengeluaran semikonduktor domestik di bawah kendalian Eropah bagi mengurangkan kebergantungan kepada import komponen utama.
“Matlamat mestilah untuk menghasilkan cip bagi keperluan tertentu dalam industri Eropah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bosch, Stefan Hartung dalam satu kenyataan.
Projek Bosch akan menjadi sebahagian daripada projek merentas Kesatuan Eropah (EU) untuk meningkatkan pengeluaran komponen di benua itu, juga dikenali sebagai cip, yang digunakan dalam segala-galanya dari kenderaan elektrik hinggalah turbin angin.
Pengeluaran semikonduktor telah menjadi keutamaan strategik di Eropah dan juga kepada Amerika Syarikat (AS), selepas wabak memutuskan bekalan, mengakibatkan kilang-kilang terhenti dan mengosongkan stor produk.
Pada awal tahun ini, EU telah melaksanakan ‘Akta Cip’, pelan bernilai 43 bilion euro yang bertujuan untuk menggandakan pasaran saham Eropah kepada 20 peratus sebelum 2030 dan mengurangkan kebergantungan pada import Asia. Bosch menjangkakan pertumbuhan yang berterusan dalam permintaan untuk semikonduktor dalam beberapa tahun akan datang, kata Hartung.
Pembangunan perniagaan mikro-elektronik adalah penting untuk kejayaan semua bidang di Bosch, sejak cip menjadi kunci utama yang sebahagian besarnya digunakan dalam beberapa jenis produk, katanya. Pelan pelaburan akan beroperasi sehingga 2026, termasuk pusat pembangunan baharu di tapak kumpulan di Reutlingen, berdekatan dengan Stuttgart di barat daya Jerman, dan bandar timur Dresden, dengan nilai berjumlah 170 juta euro.
Bosch juga akan membelanjakan sebanyak 250 juta euro untuk mengembangkan tempat penghasilan di Dresden dengan keluasan 3,000 meter persegi menjelang tahun depan. – AFP