Bosnia roboh kem ‘hutan’ pendatang

SARAJEVO, 11 DIS – Pihak berkuasa Bosnia hari ini akan merobohkan kem pendatang dikenali sebagai ‘hutan’ susulan keadaannya terlalu daif, selepas menghantar ratusan pendatang ke Sarajevo.

Kumpulan hak asasi manusia paling lantang mengkritik kem Vucjak kerana pendatang dilaporkan tidur dalam kem tanpa pemanas, air atau tandas yang secukupnya.

Selepas musim salji minggu lalu, pegawai Majlis Eropah memberi amaran bahawa kem itu berada di ambang krisis kemanusiaan dan kematian mungkin akan berlaku.

Pihak berkuasa Bosnia mula menghantar pendatang keluar dari kem itu hari ini dan membawa mereka ke lokasi berhampiran Sarajevo.

“Sejumlah 770 orang dihantar ke Sarajevo menggunakan 15 buah bas,” kata jurucakap polis Bihac, Ale Siljdedic memberitahu AFP.

Tambahnya, pihak berkuasa dan Palang Merah akan merobohkan khemah dan membersihkan kawasan itu.

Bosnia menjadi negara transit utama bagi pendatang selepas sebahagian besar laluan utara melalui Balkan ditutup pada 2016 selepas Hungary membina tembok sempadan. – AFP