Bot bawa 370 pelarian selamat tiba di Lampedusa

ROM, 30 OGOS – Sebuah kapal nelayan yang membawa hampir 370 pelarian mendarat semalaman di pulau Itali, Lampedusa, lapor agensi berita negara itu hari ini, ketika sebuah kapal kemanusiaan berhampiran yang membawa 350 orang lagi mencari pelabuhan untuk berlabuh.

Itali telah bergelut dalam beberapa bulan terakhir untuk menangani kedatangan pelarian, ratusan pelarian datang ke pesisir selatan Itali, tugas yang rumit untuk mengawal langkah-langkah keselamatan yang dikenakan dalam pandemik COVID-19 yang kini mencengkam negara itu.

Bot yang membawa 367 orang, yang berada dalam bahaya tenggelam akibat angin kencang, dikawal oleh pengawal pantai dan polis Itali ke pelabuhan pulau itu, kata agensi berita ANSA.

Mereka tiba di pelabuhan ketika demonstrasi berlangsung, diadakan oleh parti Liga kanan, yang antiimigran.

Para pelarian, yang kewarganegaraan mereka tidak diketahui telah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum me-reka dibawa ke pusat penerimaan kecemasan di pulau itu yang kini menampung sekitar 1,160 orang, 10 kali kapasiti maksimumnya, kata datuk bandar Lampedusa, Toto Martello, kepada ANSA.

Kira-kira 30 kapal kecil yang lain, kebanyakannya dari pantai Tunisia, telah sampai ke pulau itu sejak Jumaat lalu dengan membawa sekitar 500 pelarain, lapor akhbar Itali.

“Lampedusa tidak lagi dapat mengatasi situasi ini. Kerajaan perlu mengambil keputusan segera atau seluruh pulau akan mogok. Kami tidak dapat menguruskan keadaan darurat dan keadaan sekarang benar-benar darurat,” kata Martello kepada ANSA.

Nello Musumeci, pemimpin kanan pulau Sicily, hari ini menulis di Facebook bahawa dia akan meminta kerajaan untuk mengadakan pertemuan mengenai krisis kemanusiaan dan kesihatan.

“Lampedusa tidak dapat menanggung lagi. Sicily enggan menjadi mangsa perbezaan Brussels, malah Rom tidak mahu bersuara,” tulisnya. – AFP

Pelarian yang diselamatkan dipindahkan di pelabuhan komersial Lampedusa semalam dari kapal peronda Coast Guard CP-1319, yang mengangkut mereka dari kapal penyelamat awam Louise Michel. Sebuah kapal pengawal pantai Itali datang untuk menyelamatkan kapal penyelamat Louise Michel yang dibiayai oleh seniman jalanan Britain, Banksy. – AFP