LAHAD DATU, 28 Jun – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menegaskan pihaknya tiada kompromi dan akan memeriksa kapal atau bot serta mengenakan tindakan terhadap pemiliknya jika didapati melanggar undang-undang negara.
Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata perkara itu berikutan terdapat dakwaan tular di media sosial kononnya ada kapal serta bot di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang memasang bendera (parti) enggan berhenti untuk diperiksa pasukan keselamatan ESSCom.
“Ini berlaku kerana mereka (pemilik bot) merasakan mereka kebal dari aspek undang-undang apabila mengibarkan bendera tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ni.
Dalam pada itu, Hazani menasihatkan agar penduduk di ESSZone mematuhi arahan pasukan keselamatan bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara. “Kita juga berharap penduduk setempat sentiasa memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan tampil menyampaikan maklumat-maklumat yang boleh mengganggu-gugat keselamatan kawasan dan perairan ESSZone,” katanya.
Sejak semalam, gambar kapal nelayan di ESSZone yang mengibarkan bendera sebuah parti enggan berhenti dan diperiksa pasukan keselamatan, tular di media sosial. – Bernama

































