Bot karam: 9 pemancing berjaya diselamat

KUCHING, 3 OKT – Sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Pulau Satang di sini semalam, berjaya diselamatkan awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, sembilan mangsa tersebut diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar pada sekitar 1 pagi tadi.

“Sembilan mangsa tersebut telah selamat tiba di jeti Telaga Air dan telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Satu mangsa lagi masih hilang dan pencarian masih diteruskan hari ini,” katanya.

Seramai 10 pemancing dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira 2 batu nautika dari perairan Pulau Satang di sini, tengah hari semalam. – Bernama